Apabila menghirup secawan kopi pada pagi hari, ada yang menyangka minuman ini berasal dari Itali. Tetapi kenyataannya, bru panas berwarna hitam ini berasal dari Yaman.

Begitu juga dengan beberapa ciptaan lain. Universiti, berus gigi, dan pembedahan adalah sedikit daripada pelbagai ciptaan bijak pandai warga Muslim yang telah membentuk dunia moden hari ini.

Asal usul asas dan ciptaan asal beberapa barangan seperti basikal dan skala muzik adalah merupakan intipati ‘1001 Inventions’, sebuah buku yang meraikan sejarah warisan 1,000 tahun Islam yang dilupakan.

zahwari-pembedahan
CNN

“Terdapat kelompongan dalam pengetahuan sejarah kita, kita melompat dari zaman Renaissance terus ke zaman Yunani,” kata Professor Salim al-Hassani, Pengerusi Yayasan Sains, Teknologi dan juga merupakan editor buku ini kepada CNN.

‘1001 Inventions’ kini dipamerkan di Muzium Sains London. Hassani berharap pameran itu akan mengetengahkan sumbangan budaya bukan Barat – seperti empayar Islam yang pernah meliputi Sepanyol, Portugal, Itali Selatan dan menjangkau sebahagian dari negara China – kepada peradaban masyarakat hari ini.

Hassani berkongsi 10 ciptaan empayar Islam yang memberi impak besar kepada kehidupan hari ini:

1. Pembedahan

Sekitar tahun 1000, seorang doktor terkenal bernama Al Zahrawi menerbitkan 1500 halaman ensiklopedia bergambar tentang pembedahan yang telah digunakan di Eropah sebagai rujukan perubatan untuk 500 tahun akan datang. Al Zahrawi merupakan orang pertama menggunakan catgut suture, iaitu lapisan dalam usus haiwan, digunakan sebagai bebenang untuk jahitan dalaman luka. Ia adalah satu-satunya material ketika itu yang boleh diserap oleh badan manusia. Sebelum pembedahan cara ini dilakukan, pembedahan kedua sentiasa diperlukan untuk mengeluarkan jahitan. Beliau juga dilaporkan sebagai orang pertama yang melakukan pembedahan caesarean dan mencipta forsep.

2. Kopi

Merupakan minuman pilihan utama di seluruh dunia pada waktu pagi, kopi pertama kali dibancuh di Yaman pada sekitar abad ke-9. Pada awal kemunculannya, kopi digunakan untuk membantu para Sufi berjaga sepanjang malam. Kemudiannya, ia dibawa ke Kaherah oleh sekumpulan pelajar, dan tidak lama selepas itu, fenomena kopi tersebar ke seluruh empayar. Menjelang abad ke-13 fenomena kopi sampai ke Turki, tetapi tidak sehingga abad ke-16, budaya ini mula sampai ke Eropah, dibawa ke Itali oleh pedagang Venice.

BACA: 5 Ciptaan Luar Biasa Yang Bakal Meningkatkan Kualiti Air Minuman Sesiapa Sahaja

3. Mesin Terbang

“Abbas bin Firnas adalah orang pertama yang membuat percubaan untuk membina sebuah mesin terbang dan terbang,” kata Hassani.
Pada abad ke-9 Abbas mereka cipta alat bersayap, menyerupai pakaian burung. Ketika percubaan beliau yang paling terkenal, berhampiran Cordoba di Sepanyol, Abbas berjaya terbang ke atas untuk beberapa ketika, sebelum jatuh ke tanah dan menyebabkan sebahagian belakang badannya patah.

4. Universiti

Pada tahun 859, seorang puteri muda bernama Fatima al-Firhi mengasaskan sebuah universiti yang menganugerahkan ijazah kepada para graduan di Fez, Maghribi. Kakak beliau, Miriam, pula mengasaskan sebuah masjid bersebelahan universiti itu, dan bersama-sama, kedua-dua bangunan ini menjadi kompleks Masjid al-Qarawiyyin dan Universiti.  Masih beroperasi hampir 1200 tahun kemudian, Hassani berkata beliau berharap pusat itu akan mengingatkan orang ramai bahawa pembelajaran adalah tradisi teras dalam Islam dan semoga kisah adik-beradik al-Firhi akan memberi inspirasi kepada wanita muda Islam di seluruh dunia hari ini.

5. Algebra

Perkataan ‘algebra’ berasal daripada tajuk sebuah karya ahli matematik Parsi terkenal abad ke-9 yang dipanggil ‘Kitab al-Jabr Wa l-Mugabala’, atau maksudnya ‘Kitab Pertimbangan dan Imbangan.’ Diambil daripada sistem Greek dan Hindu, susunan algebra yang baru adalah satu sistem yang menyatukan nombor rasional, nombor tidak rasional dan magnitud geometri. Ahli matematik yang sama, Al-Khawarizmi, juga merupakan orang pertama yang memperkenalkan konsep menaikkan nilai nombor kepada kuasa yang lebih banyak.

6. Optik

“Banyak kemajuan penting dalam kajian optik datang dari dunia Islam,” kata Hassani. Sekitar tahun 1000 Ibn al-Haitham membuktikan bahawa manusia melihat objek melalui pantulan cahaya pada objek sebelum masuk ke dalam mata, menolak teori Euclid dan Ptolemy bahawa cahaya dipancarkan dari mata itu sendiri. Ahli fizik Muslim terkenal ini juga menemui fenomena kamera obscura, yang menjelaskan bagaimana mata melihat imej tegak adalah disebabkan oleh sambungan di antara saraf optik dan otak.

7. Muzik

Pemuzik Muslim telah memberi kesan yang mendalam kepada Eropah, sejak Charlemagne cuba untuk bersaing dengan muzik Baghdad dan Cordoba, menurut Hassani. Antara instrumen yang tiba di Eropah melalui Timur Tengah adalah seruling dan rahab, asal usul biola. Skala muzik moden juga dikatakan berasal dari abjad Arab.

8. Berus Gigi

Menurut Hassani, Nabi Muhammad (S.A.W) mempopularkan penggunaan berus gigi pertama pada sekitar tahun 600-an. Baginda menggunakan ranting daripada pokok Meswak untuk membersihkan gigi dan menyegarkan nafas. Bahan-bahan yang digunakan dalam ubat gigi moden adalah hampir sama dengan bahan dalam ranting Meswak.

9. Engkol (Crank)

Asas-asas mekanikal automatik moden, pertama kali digunakan dalam dunia Islam, seperti sistem engkol yang dihubungkan dengan rod. Dengan menukar gerakan putaran kepada gerakan linear, engkol membolehkan proses mengangkat objek berat menjadi lebih mudah. Teknologi ini, yang ditemui oleh Al-Jazari pada abad ke-12, tersebar ke seluruh dunia dengan pantas, membawa kepada penciptaan lebih banyak produk, daripada produk yang ringkas seperti basikal sehinggalah kepada yang lebih kompleks seperti enjin pembakaran dalaman.

10. Hospital

“Hospital seperti yang kita kenali pada hari ini, dengan wad dan pusat-pusat pengajaran, berasal dari Mesir pada abad ke-9,” jelas Hassani. Pusat perubatan yang pertama di dunia adalah Hospital Tulun ibn Ahmad, yang diasaskan pada tahun 872 di Kaherah. Hospital Tulun menyediakan penjagaan percuma kepada semua yang memerlukan – satu polisi yang dicipta berdasarkan tradisi Islam yang mengambil berat terhadap orang-orang sakit. Dari Kaherah, penciptaan hospital merebak ke seluruh dunia Islam.

BACA Lagi: Audi Telah Berjaya Menghasilkan Sumber Tenaga Masa Hadapan

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram

Sumber