Nota Editor: Kisah tentang pelarian ini pada asalnya telah diterbitkan di laman web ExposurePlus. Kami kongsikan semula di sini dengan izin dari penulis dan fotografer artikel ini iaitu Saudara Adi Safri. Semoga ia dapat membawa kita melihat perasaan pelarian ini dari satu sudut yang lain.

Menurut Convention 1951 berkenaan Status Pelarian, pelarian adalah mereka yang keluar dari negara asal kerana mempunyai asas ketakutan berkaitan dengan bangsa, agama, warganegara, pandangan politik atau keahlian mereka dalam sesuatu kumpulan sosial. Dan disebabkan oleh ketakutan itu, mereka tidak mahu kembali semula ke negara asal mereka.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Menurut PBB melalui UNHCR, setakat Februari 2015 seramai 152,570 pelarian dan pemohon perlindungan suaka politik berada di Malaysia. Dari jumlah ini, 141,570 dari Myanmar, 3970 dari Sri Lanka, 1200 dari Pakistan, 1100 dari Somalia, 960 dari Syria, 850 dari Iraq, 550 dari Iran dan 430 dari Palestin serta beberapa negara lagi.

Apa yang menyebabkan penulis ini tertarik untuk menjalankan projek ini kerana ingin mengetahui kehidupan mereka dengan lebih dekat. Juga dengan ini beliau dapat mengetahui apakah barang bernilai sentimental yang telah dibawa bersama sewaktu para pelarian ini melarikan diri dari negara asal.

Menurut penulis, cabaran utama yang beliau hadapi adalah untuk mendekati para pelarian ini. Beliau perlu luangkan masa yang agak lama agar mereka rasa lebih selesa untuk berkongsi kisah dan perasaan mereka, serta menunjukkan barangan yang menjadi kenangan berharga.

Cabaran lainnya adalah untuk mengenal pasti lokasi pelarian ini tinggal serta masalah bahasa untuk berkomunikasi.

Jom kita lihat apakah barang bernilai sentimental bagi para pelarian ini.

pelarian-1

Salimah Gafu, dari etnik Rakhine. Berusia 36 tahun. Ini adalah baju milik anaknya yang berusia 9 tahun. Anak beliau kini berada di Myanmar dan dijaga oleh saudaranya di sana.

pelarian-2

Wanita yang sedang mendukung anaknya ini bernama Filsan Jama Muse. Berasal dari Somalia dan sewaktu melarikan diri, beliau sedang hamil. Anak ini telah dilahirkan selepas beliau berjaya tiba di Malaysia. Inilah yang paling berharga yang dia ada kini.

pelarian-3

Ini pula Laila Amiruddin, 17 tahun dari etnik Rohingya, Myanmar. Barang berharga dan penuh nostalgia milik beliau adalah beg sekolah ini.

pelarian-4

Osman Bilal, 31 tahun, dari etnik Rakhine, Myanmar. Gambar yang dipegang adalah gambar majlis pertunangan beliau (tuang beliau berdiri 2 dari kanan). Tuangnya kini masih berada di Myanmar.

pelarian-5

Tawhidah Mohd Ghafar, 18 tahun, etnik Rakhine, Myanmar. Di tangan beliau adalah piring beserta bedak Thanaka (bedak tradisional dari kampungnya). Inilah barang yang digunakan seluruh ahli keluarga beliau di Myanmar sebelum ia dibawa ke Malaysia sewaktu melarikan diri.

pelarian-7

Abdul Basik, 18 tahun, denga lastik yang dibawa dari negaranya. Inilah lastik yang menjadi mainan kegemaran beliau sewaktu di Myanmar dulu.

pelarian-8

Osman Mohamad, 37 tahun, etnik Rohingya. Buku hadith ini adalah barang berharga yang beliau miliki kini. Dibeli sewaktu di Myanmar dan sentiasa bersama beliau sehingga kini.

pelarian-9

Mohd Ghafar Malik, 39 tahun, dari etnik Rakhine, Myanmar. Memegang  gambar anaknya yang kini berada di Myanmar dan dijaga oleh makcik beliau.

pelarian-10

Mohamad Haniff Hussain, dari etnik Rakhine, Myanmar memegang duit bernilai 200 Kyat. Inilah saja yang beliau ada sewaktu tiba di Malaysia.

pelarian-11

Bishar Abdisalam, 12 tahun dari Somalia. Kasut ini adalah hadiah dari bapa beliau yang telah hilang tanpa khabar berita sewaktu peperangan di negaranya.

pelarian-12

Ali Abdisalam, 15 tahun dari Somalia. Kain yang dipakai dipanggil Goa Shall, pakaian tradisi Somalia yang diberikan oleh bapa beliau. Hingga kini bapa Ali tidak ditemui dan dipercayai telah terbunuh dalam peperangan.

pelarian-13

Khafid Ahmed Khaif, 4 tahun dari Somalia. Sewaktu melarikan diri, mainan ini satu-satunya yang sempat diambil oleh ibunya. Kini menjadi mainan kesayangan kanak-kanak ini.

pelarian-14

Hawo Mohamed Abubakari, 32 tahun dari Somalia. Inilah satu-satunya yang dia ada kini – anaknya.

pelarian-15

Shaban Amiruddin, 18 tahun, dari etnik Rohingya, Myanmar dengan slipar yang dipakai sewaktu melarikan diri ke Malaysia.

Nampak murah dan macam tak ada nilai pun bagi kita. Tapi hakikatnya, ia sangat bernilai bagi pelarian ini kerana bersama barang ini tersimpan seribu kenangan dan kerinduan kepada keluarga yang terpisah dan kampung halaman yang jauh.

BACA: 13 Fakta Tentang Situasi Sukar Pelarian Rohingya

BACA juga: Rejim Myanmar Terlibat Dalam Penghapusan Etnik Rohingya

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram