Dari dulu hingga kini, isu sensasi yang sering dikaitkan dengan PTPTN adalah keliatan peminjam untuk membayar balik pinjaman pendidikan setelah mereka menamatkan pelajaran di institusi-institusi pengajian tinggi.

Pada penghujung tahun yang lalu, PTPTN telah mengumumkan akan menyenaraikan peminjam ingkar di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat atau lebih dikenali sebagai CCRIS.

Pada pertengahan Jun lalu pula, PTPTN mengotakan apa yang dikatakan dengan menyenaraikan lebih 130,000 peminjam yang gagal menjelaskan pinjaman ke dalam CCRIS.

Ramai peminjam yang culas dan gagal membayar balik pinjaman menjadi tidak keruan apabila mengetahui langkah yang mahu diambil PTPTN ini. Ini kerana mereka tahu kesan disenaraikan di dalam CCRIS akan mempengaruhi penilaian oleh pihak bank sebelum memberi mereka apa-apa bentuk pinjaman. Ini bermakna mereka akan menghadapi masalah untuk mendapatkan pinjaman bank dan kad kredit.

Jadi, bagaimana cara untuk peminjam PTPTN bebas dari rekod buruk CCRIS?

Hanya ada satu cara sahaja penyelesaian bagi semua peminjam PTPTN yang akan atau telah disenaraikan dalam CCRIS iaitu menjadi peminjam yang baik aka good paymaster.

Ya, jadi peminjam yang baik dengan mengambil langkah proaktif untuk membuat bayaran balik dan mengelakkan rekod bayaran balik yang tertunggak terkandung di dalam laporan kredit CCRIS.

Dalam masa yang sama PTPTN turut melakukan penambahbaikan terhadap pendekatan yang dilaksanakan. Ini menunjukkan PTPTN serius mahu membantu peminjam PTPTN menjadi peminjam berdisiplin dalam membuat bayaran secara teratur.

Antaranya:

1. Jika ada masalah tidak mampu bayar ansuran PTPTN, peminjam boleh hadir ke mana-mana 60 pejabat PTPTN Negeri, Cawangan dan Kiosk untuk berunding.

2. Jika tidak dapat keluar waktu pejabat untuk ke pejabat PTPTN, peminjam boleh pergi ke cawangan-cawangan di UTC dan pasaraya terpilih yang dibuka mengikut waktu operasi pasaraya, termasuk hujung minggu.

3. Jika mahu mendapatkan khidmat nasihat dan membuat rundingan, peminjam boleh berjumpa lebih daripada 500 Eksekutif Pemasaran PTPTN di mana sahaja mengikut kesesuaian peminjam.

4. Jika mahu membuat bayaran balik, peminjam boleh memasukkan wang melalui ejen-ejen bank yang dilantik oleh PTPTN iaitu Bank Islam, CIMB, BSN, Bank Rakyat dan Pos Malaysia.

ejen-bank-ptptn

5. Jika mahu melakukannya secara online, peminjam boleh buat bayaran melalui portal rasmi online banking CIMB, Maybank, Bank Islam, Public Bank, RHB, Ambank, Bank Rakyat, BSN dan Pos Online.

6. Jika mahu bayar direct di portal rasmi PTPTN, peminjam boleh lakukannya melalui Financial Processing Exchange (FPX) yang melibatkan ejen bank yang terpilih iaitu Bank Islam, CIMB, Public Bank, Maybank, Hong Leong Bank dan RHB.

7. Jika mahu rasa lebih selamat, selesa dan tidak was-was samada betul atau tidak cara membuat bayaran, peminjam boleh ke kaunter-kaunter PTPTN dan membuat pembayaran dengan menggunakan kad ATM atau kad debit bank-bank tempatan.

8. Jika mahu membuat bayaran balik melalui potongan gaji, peminjam boleh mengisi borang permohonan yang boleh diperolehi di portal rasmi PTPTN (www.ptptn.gov.my) dan menghantar borang permohonan berserta nama dan alamat majikan ke PTPTN.

Dan ini mungkin cara pembayaran balik pinjaman yang ramai kurang tahu iaitu pengeluaran wang dari Akaun II KWSP milik sendiri atau ibu/bapa peminjam. Tetapi perlulah memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh KWSP:

kwsp

Permohonan pengeluaran daripada peminjam:

Bagi peringkat pengajian Ijazah dan Diploma, perjanjian pembiayaan pendidikan
mestilah dari 2 Januari 2001 dan ke atas.

Permohonan pengeluaran daripada ibu/bapa peminjam:

(i) Bagi peringkat pengajian Ijazah, perjanjian pembiayaan pendidikan mestilah dari April 2000 dan ke atas.

(ii) Bagi peringkat pengajian Diploma, perjanjian pembiayaan pendidikan mestilah dari 17 Januari 2006 dan ke atas.

Sebenarnya, PTPTN menggunakan CCRIS sebagai satu langkah untuk mendidik dan menggalakkan pembayaran balik terutama mereka yang tidak bertanggungjawab kerana ‘lari’ daripada kewajipan membayar semula wang pinjaman itu.

Tindakan ini penting bagi menjamin survival dan kelangsungan PTPTN sebagai pembiaya kepada pelajar-pelajar yang amat memerlukan bantuan pengajian. Pembayaran balik juga penting dilakukan oleh para peminjam agar tidak menjejaskan peluang pelajar baru meneruskan pengajian dan menjadi orang berpendidikan tinggi.

Maka, sebagai peminjam yang mahu bebas dari rekod buruk CCRIS, ambil langkah-langkah proaktif untuk segera memulakan pembayaran balik pembiayaan atau datang berunding dengan pihak PTPTN bagi memastikan rekod bersih di dalam laporan kredit CCRIS.