Setiap tahun, Mark Zuckerberg akan menetapkan azam baru yang mencabar kapasiti beliau sebagai seorang individu. Antara cabaran yang beliau telah ambil antaranya ialah, belajar bahasa Mandarin, memakai tali leher setiap hari, berjumpa orang di luar dunia Facebook setiap hari, menjadi separuh vegan (dengan hanya memakan daging yang disembelih sendiri) dan menulis nota terima kasih setiap hari. Pada tahun ini, beliau telah melakukan crowdsourcing untuk mendapat idea baru untuk azam baru tahun 2015.

BACA: Mark Zuckerberg Dan Cabaran Azam Tahun Baru Ekstrim Beliau Setiap Tahun

Cynthia Greco, seorang pengurus di MediaOnePA/York Newspaper Company, mencadangkan supaya Mark membaca buku baru setiap bulan yang dipilih oleh orang lain. Mark suka dengan idea itu, tetapi beliau menukarnya sedikit. Beliau bercadang untuk membaca buku baru setiap minggu dan memberi penekanan untuk mempelajari tentang budaya, kepercayaan dan sejarah. “Saya teruja dengan cabaran membaca ini. Saya mendapati membaca buku adalah sangat memuaskan dari segi intelektual. Buku membolehkan anda untuk menerokai sepenuhnya sesuatu topik dan membenarkan anda untuk memahaminya lebih dalam berbanding media lain. Saya tidak sabar untuk beralih dari diet (membaca) media kepada membaca buku,” kata Mark.

Mark Zuckerberg juga membuka sebuah Facebook Page baru bernama “A Year Of Books“. Anda boleh mengikuti cabaran dan membaca buku yang sama dengan beliau melalui laman ini. Beliau juga meminta pengguna untuk berbincang mengenai konten buku ini di laman tersebut. Seramai 222,000 pengguna Facebook sudahpun menekan “like” di page tersebut.

Buku pertama yang dipilih adalah The End of Power ditulis oleh Moises Naim. “Ia adalah sebuah buku yang menerokai tentang bagaimana kuasa di dalam dunia ini diberikan lebih kepada individu yang dahulunya hanya dipegang oleh kerajaan, tentera dan organisasi,” Mark menulis.

Ironinya, Mark mempunyai pengaruh yang sangat besar, dan beliau telah menarik minat beribu-ribu orang untuk membaca buku yang sama pada satu malam. Sebagai bukti, buku ini telah habis dijual di Amazon.

Mark juga dibandingkan dengan seorang lagi personaliti berpengaruh: Oprah Winfrey. Kelab buku Oprah, atah Oprah’s Book Club, yang sudah mencapai umur 15 tahun adalah satu pemangkin besar dalam dunia percetakan, mengumpulkan beribu-ribu ahli dan menyebabkan jualan buku meningkat tinggi, satu fenomena yang dikenali sebagai “the Oprah effect”. Mark Zuckerberg mungkin tidak tertanding dengan kuasa Oprah buat masa sekarang, tetapi dengan 31 juta pengikut, beliau mempunyai peluang yang baik untuk mengikut jejak langkah wanita berpengaruh itu.

Sumber: Wired, Forbes

Like page The Vocket di Facebook