Petroliam Nasional Bhd (Petronas) merancang untuk mengurangkan sehingga RM50 bilion (AS$11.41 bilion) daripada modal dan perbelanjaan operasinya dalam tempoh 4 tahun akan datang, lapor Wall Street Journal semalam.

Firma minyak dan gas milik negara itu yang menyumbang hampir separuh hasil minyak Malaysia, akan menangguhkan beberapa projeknya, lapor akhbar tersebut yang memetik memo dalaman ketua eksekutifnya, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Sementara itu Petronas dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa ia telah mengedarkan risalah komunikasi dalaman sebagai sebahagian usaha mengoptimumkan kos dalam berdepan impak kejatuhan harga minyak mentah.

Bagaimanapun ia enggan mendedahkan kandungan memo berkenaan dan sebarang makluman lanjut akan diumumkan pada satu masa yang ditetapkan.

Petronas berdepan kelemahan harga minyak yang jatuh terendah sejak 2003 pada Isnin. Harga jatuh lebih 70 peratus sejak 18 bulan lepas selepas pengeluar terus meningkatkan pengeluaran meskipun kelemahan permintaan.

Wan Zulkiflee dalam temubual bersama Bloomberg baru baru ini menegaskan syarikat berdepan tempoh mencabar bagi tempoh dua ke tiga tahun, namun yakin harga minyak akan pulih meskipun tidak berkongsi tempoh sebenar pemulihan.

Pada Februari tahun lepas, Petronas berkata ia merancang memotong modal perbelanjaan sebanyak 10 peratus dan perbelanjaan operasi sebanyak 30 peratus pada 2015.

Ia juga berkata pada ketika itu, bahawa syarikat bakal memotong modal perbelanjaan 2016 sebanyak 15 peratus.

BACA: 9 Tip Bagaimana Dapat Kerja Oil & Gas Tanpa Pengalaman Dan Networking