Kemudahan pinjaman bukan lagi satu bonus buat mereka yang tidak pandai menguruskannya. Menjadi satu tabiat bagi sesetengah penjawat awam membuat pinjaman berulang-kali untuk menutupi hutang lama.
Menurut Harian Metro, Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl) Datuk M Bakri Abd Majid mendedahkan kira -kira 10 hingga 13 peratus daripada kes kebankrapan baharu yang didaftarkan antara 2021 hingga tahun ini melibatkan penjawat awam.
Beliau berkata lebih membimbangkan data berkenaan menunjukkan trend peningkatan dari tahun ke tahun walaupun data kebankrapan nasional menunjukkan penurunan.
Berdasarkan data terbuka Mdl, beliau berkata statistik kebankrapan individu daripada sektor awam adalah sebanyak 12 peratus pada 2020, 2021 (10 peratus), 2022 (11 peratus), 2023 (13 peratus) dan 14 peratus setakat ini bagi tahun ini.
“Kegagalan pegawai awam menguruskan kewangan dengan baik bukan sahaja memberi kesan kepada individu dan keluarga, malah kepada ekosistem perkhidmatan awam negara.
“Bagi penjawat awam yang diisytiharkan bankrap, tindakan tatatertib boleh diambil akibat keterhutangan yang serius selain mencemarkan imej perkhidmatan awam, sekali gus menjejaskan peluang kenaikan gaji dan pangkat selain kelayakan pembayaran bonus dan bantuan kewangan turut terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau lagi, dalam sesetengah kes, terdapat juga penjawat awam yang memohon untuk membangkrapkan diri sendiri bagi mengurangkan tekanan hutang yang berpanjangan.
Di bahagian jabatan pula, M Bakri berkata ketua jabatan seharusnya memantau tahap keterhutangan petugas di bawah selian masing-masing dan peka terhadap perubahan kelakuan mereka.
Biarpun Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dengan pelarasan gaji yang lebih baik ini menjadi berita baik buat penjawat awam. Ada pihak yang sedia menjerat mangsa dengan menawarkan pinjaman baharu yang tidak sihat kepada penjawat awam yang lalai.
M Bakri berkata ‘kitaran jahat’ berkenaan perlu dihentikan daripada terus merencatkan aliran tunai penjawat awam dan peranan semua pihak termasuk ketua jabatan amat diperlukan bagi mengekang masalah berkenaan.
“Selaras dengan pengumuman gaji baharu, pekerja sektor awam dilihat telah menjanjikan perubahan cara kerja atau tahap produktiviti lebih baik, namun ia bukan sekadar dua perkara itu sahaja malah pemikiran juga perlu diubah,” ujarnya lagi.