Pemilik kereta pasti pernah berdepan situasi ‘kena ketuk’ dengan bengkel kereta terutamanya individu yang tidak begitu mahir tentang kereta. Namun, ada sahaja bengkel yang berniaga dengan jujur tetapi mungkin tidak diketahui oleh orang ramai.
Itulah apa yang dikongsikan oleh seorang pengguna X, Amal. Dalam perkongsiannya, beliau kagum dengan mekanik tersebut yang berpegang dengan prinsip rezeki itu daripada Allah.
“Mixed feelings tengok pomen kereta yang jujur buat kerja. Member datang masalah absorber, 2-3 bengkel suruh tukar 1 set belakang. Jumpa pomen ni, tukar bush harga berapa puluh ringgit sahaja settle. Tapi kesian lah sale jadi rendah.
“Diorang kata; Tak apa, rezeki Allah yang bagi,” tulis Amal.
“Tapi fikir balik, kemungkinan mereka sanggup lepaskan sale yang besar demi rezeki yang lebih berkat. Dapat bina kepercayaan orang, mungkin orang akan datang lagi. Dan boleh jadi, ini teguran dan peringatan dari Allah untuk aku juga hal cari rezeki ini,” tambah Amal.
Benar rezeki tak salah alamat, Perkongsian Amal itu telah mendapat lebih 19,000 likes dan 8,200 retweets di X dan rata-rata mencari dan mahu menyokong bengkel tersebut.
Amal juga ada berkongsi nombor telefon pomen tersebut yang selesa dengan panggilan Abang Wadie. Namun, selepas perkongsian itu tular, Abang Wadie menerima ratusan mesej daripada orang ramai dan tidak sempat untuk menjawab setiap soalan satu-persatu.
“Aku minta maaf bagi pihak Abang Wadie kalau ada yang dia terlepas pandang untuk balas mesej. Ada yang dia tak sempat follow up quotation sebab banyak sangat mesej masuk hari ini,” tulis Amal.
Rata-rata netizen turut mendoakan kesejahteraan Abang Wadie dan berkata inilah balasan kerja yang jujur, berkatnya datang tidak disangka. “Susah nak cari kedai jujur bab servis, semoga Allah berikan rezeki luas dekat pemilik macam ini,” komen Hilmi.
Tidak kurang juga ramai pengguna X yang berkongsi senarai bengkel kereta lain yang bagi mereka menawarkan servis dan harga berpatutan mengikut kawasan. Anda boleh membacanya di sini. Anda ada pengalaman baik atau kurang baik dengan mana-mana bengkel sebelum ini? Boleh kongsi di ruangan komen.