Tahukah anda terdapat sejumlah aplikasi AI yang boleh diterokai secara percuma sahaja? Malah, sudah ramai memanfaatkan AI untuk memudahkan urusan seharian yang mana jauh lebih pantas dan efisien.
Aplikasi AI ini sangat berkuasa kerana boleh menyelesaikan pelbagai perkara rumit anda dengan hanya memasukkan input teks sahaja. Jadi, kami sediakan senarai lima aplikasi AI yang boleh diterokai anda dalam memudahkan urusan seharian.
Baca Juga:
- Ini Caranya Mengesan Penggunaan ChatGPT Dalam Tugasan Pelajar
- Tidak Lagi Terhad Setakat Tahun 2021, Ketahui Cara ‘Bypass’ ChatGPT Untuk Dapatkan Maklumat Terkini
1. ChatGPT
ChatGPT merupakan sebuah chatbot yang dibangunkan oleh syarikat OpenAI. Ini bukan sebarang chatbot kerana ChatGPT memiliki kemampuan berinteraksi dan memberi respon yang natural dan mirip seperti manusia apabila dilontarkan soalan.
Chatbot ini termasuk dalam Large Language Model (LLM) iaitu program komputer yang dapat mengenali, meringkas, menterjemah, meramal dan menghasilkan teks. Secara umumnya, orang ramai menggunakan ChatGPT sebagai kaunter pertanyaan kerana ia mampu memberikan jawapan yang lebih mudah difahami serta pantas.
Malah, pelbagai perkara rumit lain yang boleh dilakukan seperti menyelesaikan soalan matematik, membina aplikasi dan juga menghasilkan gambar berdasarkan input teks sahaja. Malah, ChatGPT juga sedia digunakan untuk tujuan bisnes kerana boleh bantu mengendalikan persoalan atau pun aduan dengan efisien.
2. Soundful.com
Seperti namanya, platform ini membolehkan anda mencipta muzik untuk kegunaan peribadi. Dengan ini, para pencipta konten dan artis muzik boleh menghasilkan lagu dan rentak muzik dengan bantuan AI secara percuma.
Pengguna hanya perlu memilih genre yang diminati, masukkan spesifik input berkenaan lagu dan maka terciptalah sebuah lagu yang diimpikan. Menariknya, anda boleh mencipta sebanyak mungkin lagu tanpa dikenakan caj sepanjang penggunaan.
Malah, terdapat sejumlah sampel muzik berkualiti tinggi yang boleh digunakan untuk tujuan komersial atau konten peribadi. Bagaimanapun, anda hanya boleh memuat turun sebanyak 10 buah lagu sahaja untuk setiap bulan menerusi versi percuma.
3. Midjourney
Midjourney merupakan salah satu penjana gambar berasaskan kecerdasan buatan yang mana mampu menghasilkan gambar menerusi input teks sahaja. Ini sekaligus memudahkan lagi penghasilan grafik dengan pantas berbanding cara biasa.
Dengan versi terkini, platform penjana gambar ini mampu menghasilkan gambar yang hiper realistik serta lebih tepat seakan hidup. Malah, kini terdapat peningkatan termasuk dari segi pencahayaan, pilihan resolusi yang lebih besar dan penjanaan imej pada saiz besar dengan lebih pantas.
4. QuillBot
QuillBot ini pula merupakan alat untuk membuat ringkasan di samping menyediakan saranan pembinaan ayat alternatif yang lebih baik berasaskan AI. Dengan bantuan AI canggih ini, ia boleh menulis semula mana-mana ayat, esei, perenggan atau artikel dalam masa yang singkat.
Bukan itu sahaja, anda boleh meningkatkan kemahiran menulis bahasa inggeris dengan ciri semakan yang disediakan. Menariknya, Quillbot juga membolehkan anda menjana petikan rujukan sumber yang lengkap dalam masa singkat untuk tugasan akademik.
5. D-id.com
Akhir sekali, D-id adalah sebuah aplikasi web yang membolehkan anda menjana karakter avatar 3D tersendiri. Dengan ciri Creative Reality Studio, anda boleh menjadikan avatar berinteraksi seperti manusia biasa.
Selain boleh menghasilkan animasi avatar 3D tersendiri, anda juga boleh mencipta video menarik bersama pilihan 100 jenis bahasa dengan bantuan sepenuhnya oleh kecerdasan buatan mereka. Tanpa sebarang ilmu teknikal diperlukan, semua ini boleh dibuat dengan hanya klik pada butang yang disediakan.
Kehadiran sejumlah aplikasi AI sememangnya dapat memudahkan urusan seharian kita jika tahu digunakan dengan betul. Kini anda juga berpeluang menikmati servis AI yang canggih secara percuma dan mula melakukan pelbagai perkara luar biasa dengan semudah arahan teks atau klik pada butang yang disediakan sahaja.