Lebih 60,000 penyokong dijangka membanjiri perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) hari ini bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Selangor (SFC).
Namun terdapat beberapa info penting perlu diketahui oleh para penyokong sebelum bergerak ke stadium tersebut.
1. Naik LRT elak kesesakan lalu lintas
Untuk pengetahuan anda, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) mengumumkan operasi Stesen LRT Bukit Jalil telah dilanjutkan sehingga jam 1 pagi, pada Ahad.
Bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang, tren tambahan turut disediakan sejurus tamat perlawanan bagi keselesaan penyokong untuk pulang ke destinasi masing-masing.
2. Payung dan beg tidak dibenarkan bawa masuk ke dalam Stadium
Ramai penyokong dijangka akan membawa payung memandangkan keadaan cuaca tidak menentu dan diramalkan hujan pada sebelah petang namun tidak dibenarkan bawa masuk ke dalam stadium.
Ini kerana payung adalah salah satu daripada barang larangan yang merbahaya dan boleh mendatangkan kecederaan. Selain payung, penyokong juga tidak boleh bawa masuk beg saiz A4, pengecas mudah alih serta rokok elektronik.
3. Tiada penjualan tiket fizikal di Stadium
Semua tiket perlawanan akhir Piala FA telah dijual secara dalam talian (Online) sejak minggu lalu. Oleh itu, MFL mengesahkan tiada penjualan tiket fizikal di kaunter stadium pada hari perlawanan.
Elakkan membeli tiket palsu dan orang ramai diminta tidak hadir ke perkarangan stadium sekiranya tidak memiliki tiket perlawanan.
4. Pintu Stadium dibuka seawal jam 5 petang
Para penyokong digalakkan hadir ke stadium lebih awal sebelum sepak mula perlawanan pada jam 9 malam.
Menurut MFL, penyokong dibenarkan masuk ke dalam stadium bermula pada jam 5 petang namun pintu mungkin akan dibuka lebih awal bergantung kepada keperluan semasa.
Bagi penyokong yang memiliki tiket berharga RM50, mereka perlu masuk ke pintu A dan B (untuk penyokong JDT) serta pintu D dan E (untuk penyokong Selangor).
Manakala pemegang tiket berharga RM70 perlu masuk ke pintu C. Penyokong JDT yang memiliki tiket Premium dan VIP Grandstand perlu masuk ke pintu Emerald dan penyokong Selangor masuk ke pintu Sapphire.
5. Dapatkan info eksklusif tentang Perlawanan Akhir Piala FA 2024-2025
Para penyokong digalakkan membaca info tentang perlawanan tersebut menerusi kit media yang disediakan oleh Malaysian Football League (MFL).
Imbas kod QR di bawah untuk info eksklusif tentang Perlawanan Akhir Piala FA 2024-2025 dimana anda akan mendapat maklumat lanjut mengenai barisan pemain, rekod pertemuan, statistik dan banyak lagi.