Kepada pengguna tegar TikTok, anda mesti mengetahui tentang lubuk kepada trend viral menerusi platform tersebut. Namun, sebahagian trend atau cabaran yang dilakukan adalah bahaya dan mampu meragut nyawa seseorang.
Meskipun begitu, masih ramai yang mencubanya walaupun dilihat merbahaya dek kerana ingin mencuba sesuatu yang baharu dan mencabar. Ini enam TikTok Challenge viral yang dilaporkan pernah meragut nyawa dan mencederakan diri.
Baca Juga:
- Patung Misteri Di Sebalik ‘Momo Challenge’ Telah Dimusnahkan Oleh Penciptanya
- Gara-Gara ‘Coronavirus Challenge’, Gadis Ini Dikecam Jilat Tempat Duduk Tandas Kapal Terbang
1. Blackout Challenge
‘Blackout Challenge’ ini merupakan trend bahaya yang melibatkan seseorang itu cuba untuk mencekik diri mereka sendiri sehingga tak sedarkan diri untuk rasa high. Cabaran ini sememangnya boleh menyebabkan kecederaan yang serius serta membawa maut dan dikhabarkan ramai remaja yang menjadi mangsa.
Namun begitu, sukar untuk tahu jumlah sebenar individu yang telah menjadi mangsa cabaran ‘Blackout Challenge’ ini kerana kebanyakan kes tidak dilaporkan.
Menurut Independent.uk, cabaran ini telah dikaitkan dengan kematian 20 kanak-kanak dalam masa 18 bulan. Bagaimanapun, berdasarkan sejumlah laporan beberapa tahun lalu memperlihatkan kanak-kanak merupakan peserta terbesar dalam cabaran tersebut.
2. Skull Breaker Challenge
Cabaran pecahkan tengkorak atau lebih dikenali sebagai Skull Breaker Challenge telah wujud pada tahun 2020. Ia melibatkan dua individu cuba untuk jatuhkan orang lain dan memastikan mangsa mereka jatuh dan kepalanya terhantuk ke lantai dengan menendang kaki mangsa mereka.
Prank ini jelasnya boleh menyebabkan seseorang itu mengalami gegaran otak, retak atau meninggal dunia. Trend ini mendapat perhatian ramai selepas beberapa laporan mengenai kecederaan yang dialami selepas membuat cabaran ini.
Trend viral ini dikatakan telah menyebabkan kecederaan di New Jersey, Miami, Arizona dan Mexico. Lebih teruk lagi, ada laporan pada tahun 2020 di Brazil yang melibatkan pelajar berusia 16 tahun meninggal dunia dek kerana prank itu.
3. Penny Challenge
Cabaran duit syiling ini dibuat dengan meletakkan duit syiling di antara pengecas fon dan soket elektrik untuk menghasilkan percikan api. Bukan sahaja bermain dengan api, ia juga boleh menyebabkan renjatan elektrik, kebakaran dan kerosakan harta benda.
Jika anda bernasib malang, berkemungkinan besar badan akan melecur teruk dan lebih teruk lagi boleh mendorong kepada maut. Sejak trend viral ini tular pada tahun 2020, ibu bapa di negara seperti Amerika Syarikat mula mengambil langkah drastik dalam membendung tindakan merbahaya oleh anak mereka.
4. Back Cracking Challenge
Ini satu lagi trend di TikTok yang menyebabkan ramai pula jadi chiropractor. Ramai orang telah cuba untuk membuat cabaran ini dengan memusingkan belakang badan individu lain secara paksa atau menggunakan perabot bagi mendengar bunyi ‘letupan’ tulang’.
Trend yang mula popular pada tahun 2021 ini telah menyebabkan segelintir orang mempunyai kecederaan yang teruk kerana tidak dibuat dengan betul. Jika dibuat oleh profesional anda akan merasa lega pada bahagian tersebut, tetapi sebaliknya boleh berlaku iaitu lumpuh.
5. The Salt Challenge
Cabaran garam yang mula popular pada tahun 2020 ini melibatkan seseorang itu makan garam dalam kuantiti yang banyak pada jangka masa yang singkat.
Jika lihat pada platform TikTok, ramai remaja yang cuba untuk buat cabaran ini dengan mengambil botol garam dan tuangkan ke dalam mulut.
Menurut pakar, cabaran ini boleh menyebabkan dehidrasi, ketidakseimbangan elektrolik dan kerosakan buat pinggang.
6. Fire Challenge
Salah satu cabaran yang paling merbahaya adalah melibatkan cecair mudah terbakar seperti menggosok alkohol atau petrol ke badan seseorang lalu dinyalakan api.
Matlamat cabaran ini adalah untuk memadamkan api dengan pantas tetapi ia boleh menyebabkan lecur yang teruk, kecacatan kekal dan juga kematian.
Bagaimanapun, majoriti insiden melaporkan para peserta cabaran ini telah gagal memadamkan api dalam tempoh yang singkat sekaligus menyebabkan kecederaan serius pada badan mereka.
Diharapkan para ibu bapa mengambil berat dengan cabaran-cabaran trend yang mungkin merbahayakan anak-anak mereka. Tiada gunanya untuk menyesal kemudian hari jika berlaku kecacatan kekal atau kecederaan serius yang boleh menjejaskan masa depan.