Seperti biasa pada awal tahun kita dapat lihat ramai yang berkongsi azam-azam mereka di media sosial. Ada yang mahu kurangkan berat badan, tambah berat badan dan tidak kurang juga yang mahu mencari calon pasangan hidup untuk menamatkan zaman bujang. Heh.

Bagi yang bertekad untuk membaca lebih banyak buku, anda mungkin boleh ambil tip dari Austin Kleon untuk digunapakai mahupun ditambahbaik. Kalau ada yang belum kenal, Austin merupakan penulis buku laku keras seperti Steal Like An Artist dan Show Your Work yang sangat popular di kalangan penggiat seni kreatif.

Ini 7 tip yang dicadangkan oleh beliau:

1. Jauhkan telefon pintar (atau gajet lain) dari anda ketika mahu mula membaca.

2. Sediakan bajet khusus untuk membeli buku yang anda mahu baca dan letakkan buku tersebut di tempat yang anda lalu lalang setiap hari di rumah supaya tidak lupa.

3. Bawa sebuah buku bersama-sama anda walau ke mana jua anda pergi setiap hari.

4. Jika tidak berasa seronok ketika membaca atau mempelajari sesuatu dari sesebuah buku, usah paksa diri anda. Cari buku lain untuk dibaca.

5. Tetapkan satu jam dalam sehari untuk membaca bacaan bukan fiksyen terutama ketika dalam perjalanan atau waktu rehat tengah hari.

6. Masuk ke dalam bilik tidur satu jam lebih awal dari kebiasaan untuk membaca buku fiksyen (supaya anda lebih senang tidur).

7. Tulis tentang buku yang anda baca dan kongsikannya dengan orang lain. Ini akan menggalakkan orang lain (seperti penerbit) menghantar lebih banyak buku kepada anda untuk dibaca.

Tip yang terakhir tadi sekali baca macam lebih relevan kepada golongan penulis seperti Austin sendiri ataupun blogger yang selalu membuat ulasan produk. Tapi tak salah kalau nak cuba, kan?

Anda ada tip-tip tersendiri yang mahu dikongsi supaya lebih ramai orang mendapat manfaat? Kongsikan di Facebook page kami atau komen di bawah!

Sumber: Austin Kleon

Like page The Vocket di Facebook