Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menzahirkan kekecewaan terhadap keadaan padang di Malaysia.

Ini selepas aksi Liga Super antara Perak menentang JDT yang sepatutnya berlangsung semalam terpaksa ditunda buat kali kedua ekoran cuaca hujan dan keadaan padang yang tidak mengizinkan.

Taobao
HYPE
Raya Extra Meriah! 5 Dekorasi DIY Dari Taobao Wajib Ada Untuk Rumah Anda!
Baca lagi →

Baca Juga:

Tunku Ismail menyifatkan keadaan padang di Malaysia masih tidak berubah dan menyukarkan perlawanan bola sepak berlangsung.

“Dah 2024, 90 peratus padang dalam negara masih di dalam keadaan teruk. Amat memalukan dengan negara jiran.

“Negara jiran semua dah tingkatkan padang dan infra bola sepak. Kita hanya bercakap nak berubah tetapi tiada tindakan. Peruntukan dah ditawarkan oleh KBS tetapi semua kelab tak terima,” kata Tunku Ismail menerusi laman instagram officialjohor.

Baginda turut mendedahkan kebanyakan kelab di Malaysia enggan menerima tawaran padang percuma oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana tidak sanggup untuk mengeluarkan kos penyelenggaraan.

“Dapat padang percuma pun tak terima. Pasal tak sanggup maintain padang RM200,000 setahun. Pemain berjuta boleh beli, kerusi stadium berjuta boleh bayar.

“Padang RM200,000 setahun dan gaji pemain tak boleh bayar. Amat memalukan. Musim tengkujuh dah nak mula. Berapa aksi lagi nak kena tunda? Membazir, dan sangat memalukan,” tambah baginda.

Semalam, skuad Seladang dan Harimau Selatan hanya sempat bermain dalam tempoh kurang empat minit sahaja.

Ini adalah perlawanan terakhir Perak di stadium itu sebelum berpindah ke Stadium Manjung bagi memberi laluan kepada kerja-kerja naik taraf padang.