Baru-baru ini tular di laman Facebook di mana seorang lelaki bertindak dengan membuang makanan ringan yang dianggap fake food ke dalam tong sampah membuatkan netizen tidak berpuas hati dengan perbuatannya itu.

Orang ramai menganggap perbuatan lelaki tersebut adalah tidak baik dan menyinggung perasaan tuan rumah.

Tindakan beliau telah menarik perhatian orang ramai termasuklah salah seorang ahli kimia, Fatimah Salim, yang turut memberi respon berkenaan makanan ringan yang didakwa tidak berkhasiat itu. Beliau turut menegaskan bahawa tiada satu pun benda di dunia ini bebas dari bahan kimia. Berikut merupakan status yang dimuat naik di laman Facebook miliknya.

Cermin sikap kita

Saya pelik dengan sesetengah ibu bapa yang sangat obsess dengan so called ‘real food’ yang kononnya bebas daripada bahan kimia. Ingat, tiada satu pun benda dalam dunia ini yang bebas bahan kimia. Bezanya hanya bahan kimia bahaya atau tidak dan yang mana melibatkan makanan, yang bahaya itu juga subjektif kepada individu. Contoh garam (bahan kimia natrium klorida- NaCl) mungkin bahaya untuk anda sebab anda ada penyakit darah tinggi, tapi tidak untuk saya.

Ya betul, anda mempunyai hak sepenuhnya terhadap anak. Kalau anak yang sakit, anda yang kena jaga. Namun, tidak perlu muat naik status di Facebook. Pergi jumpa dengan mereka yang memberikan itu dan jika sikap anda menjadi buah mulut, maka anda kena belajar berpijak di bumi yang nyata.

Sumber: Google Image

Kita dan anak-anak hidup dan bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat. Tanpa kita sedar, sikap seperti inilah punca kepada kurangnya simpati dan empati yang diterap dalam diri anak-anak.

Saya bukan nak menyokong makanan segera ini. Kunci di sini ialah kesederhanaan. Makanlah apa pun, yang penting kita tahu dan faham tahap kesihatan badan kita. Sebenarnya badan kita memerlukan makanan yang pelbagai untuk berfungsi dengan kadar optimum. Cuma, makanan yang baik itu (real food) ambil lebih kerap berbanding yang diproses.

Sumber:Google Image

Kajian juga telah menunjukkan jika kita tidak pelbagaikan makanan, kita mungkin berpotensi berhadapan dengan penyakit-penyakit berkaitan sensitiviti makanan. Tidak berguna juga jika kita mengehadkan makanan ‘sihat’, namun jiwa meronta.

Ingat menikmati makanan dengan rela hati menghasilkan bahan-bahan kimia gembira seperti serotonin, dopamine dan endorphin dalam otak. Bahan-bahan kimia ini mampu membantu dalam menguatkan sistem pertahanan badan kita terhadap penyakit.

Saya membesar dengan sardin jenama King Cup dan mee segera perencah asam laksa yang dijadikan lauk untuk nasi. Bukan kami yang pinta, namun takdir sedemikian rupa dan Alhamdulillah pengalaman ini bersama dengan ilmu yang berkembang, membuatkan saya lebih memahami badan sendiri dan lebih bersimpati serta berempati terhadap orang lain.

Ramai yang tidak bernasib baik di luar sana. Mana-mana sikap tidak baik itu, mohon disimpan. Buat sembunyi-sembunyi, biar anak-anak pun tidak lihat.

Sumber