Ketua pegawai eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes menyatakan bahawa Kota Kinabalu berpotensi menjadi ‘mini Dubai’ dengan transit antarabangsa dan lapangan terbang persinggahan, lapor New Straits Times.

Dalam pertemuan beberapa bulan lalu, Fernandes berkata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor telah menyatakan hasratnya untuk melihat Sabah menjadi hab kerana lokasinya yang strategik.

“Saya rasa inilah sebabnya Sabah dan AirAsia memahami keperluan masing-masing. Kami mahu melihat AirAsia memainkan peranan utama dalam menjadikan Kota Kinabalu sebagai hab kerana lokasinya yang strategik.

“Lapangan terbang adalah salah satu faktor utama dalam mengubah Kota Kinabalu menjadi mini Dubai atau Doha sebagai lapangan terbang penghubung. Sebagai contoh, pengembara yang terbang dari Australia ke Jepun boleh menggunakan Kota Kinabalu sebagai tempat persinggahan atau transit.

“Jadi itulah impian saya untuk Sabah — menjadikannya sebagai lapangan terbang transit dan persinggahan,” katanya sambil menambah bahawa beliau berharap kerajaan dapat memberikan bantuan yang diperlukan untuk merealisasikan rancangan itu.

Terdahulu, Tony Fernandes menerima Anugerah Penghargaan Pelancongan Sabah daripada Lembaga Pelancongan Sabah atas sumbangannya terhadap sektor pelancongan negeri itu sejak 20 tahun lalu.