Perlawanan persahabatan antarabangsa melibatkan skuad kebangsaan Thailand dan Rusia yang bakal berlangsung malam ini terpaksa dibatalkan ekoran ‘serangan’ taufan Yagi di Utara Vietnam, termasuk Hanoi.

Perkembangan terkini itu disahkan Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan selepas mengambil kira faktor keselamatan barisan pemain, jurulatih, kakitangan serta para penyokong.

Baca Juga:

Wang akan dikembalikan kepada para penyokong yang sudah mendapatkan tiket perlawanan tersebut.

Dengan skuad Rusia akan kembali terbang ke Moscow pada pagi esok, ini bermakna Thailand hanya akan berhadapan dengan Vietnam pada 10 September di My Dinh Stadium.

Mengikut perancangan asal, Rusia ke Hanoi untuk menghadapi Vietnam dan Thailand, namun skuad kendalian Valery Karpin itu hanya sempat beraksi menentang Vietnam dimana mereka berjaya mencatatkan kemenangan 3-0.

Gol pada perlawanan tersebut disumbangkan oleh Daler Kuzyayev (minit ke-24), jaringan sendiri oleh Vu Van Thanh (minit ke-61) dan Tamerlan Musayev di minit ke-77.

Taufan yang melanda itu juga turut memberi kesan kepada Kejohanan Bola Sepak Bawah 15 Tahun Kebangsaan di Wilayah Hung Yen.

Saingan yang sudah memasuki suku akhir itu ditunda ke 8 September dimana Hoang Anh Gia Lai bertemu PVF manakala Ba Ria Vung Tau menentang Da Nang Bawah 15 tahun. Kedua-dua perlawanan akan berlangsung di PVF Stadium.

Taufan Yagi difahamkan pada mulanya melanda wilayah pulau selatan China, Hainan dan sudah bergerak ke arah pantai utara Vietnam.

Menurut sumber Buletin TV3, dua nyawa terkorban manakala hampir 100 lagi cedera berikutan taufan tersebut di China.