Kebiasaannya calon peperiksaan UPSR akan ada 1 bulan tanpa sesi pembelajaran selepas sesi peperiksaan UPSR. Pada waktu itu, pelajar Tahun 6 diberi kebebasan untuk melakukan pelbagai aktiviti dalam pemantauan guru kelas. Jadi, ini adalah antara aktiviti permainan yang saya masih ingat sewaktu saya dan rakan-rakan selesai UPSR.
BACA: 10 Perkara Pelajar Sekolah Rendah 90-an Selalu Buat. #3 Paling Mengimbau Kenangan
1. Happy Family Card
Permainan kad Happy Family ini direka khas bersama 4 gambar ahli keluarga yang terdiri daripada ibu, ayah, anak perempuan dan anak lelaki. Watak-watak kad pemain itu dibuat berdasarkan jenis pekerjaan keluarga tersebut. Kad Happy Family ini diterbitkan pertama kali pada tahun 1851 oleh John Jaques II yang turut mencipta permainan tiddlywinks, ludo dan ular dan tangga.
Objektif permainan ini ialah mengumpul sebanyak mana bilangan keluarga. 4 kad mewakili satu keluarga. Pada permulaan semua pemain akan memiliki bilangan kad yang sama banyak. Kemudian setiap pemain boleh meminta satu kad daripada pemain lain untuk melengkapkan keluarga mereka.
Jika anda pemain licik, anda boleh meminta semula kad tersebut pada pusingan yang seterusnya. Apabila pemain berjaya kumpulkan set keluarga, dia boleh letak di atas meja di depannya sambil sebut One Happy Family. Pemain yang kumpul paling banyak set keluarga adalah pemenang permainan kad Happy Family ini.
2. Donkey Card
Dua atau lebih pemain boleh bersama-sama main kad Donkey. Semua pemain akan dapat bilangan kad yang sama pada awal permainan kecuali seorang yang akan dapat satu kad tunggal Donkey.
Pemain perlu meletakkan kad yang sama di depan mereka tanpa mendedahkan jenis kad kepada pemain lain. Pemain pertama akan menawarkan kad-kadnya kepada pemain lain di sebelah kirinya. Pemain sebelah kiri akan memilih satu kad daripada pemain pertama. Jika kad tersebut sama dengan kad yang dia ada, dia boleh meletakkannya di depannya tanpa dedahkan jenis kad. Jika tidak sama, dia letakkan kad tersebut bersama-sama kad yang ada ditangannya ketika itu.
Permainan seterusnya berlangsung sehinggalah tinggal 2 pemain sahaja di mana salah seorang mereka memiliki kad tunggal iaitu Donkey. Jika seseorang itu pemegang terakhir kad Donkey, dia dikira kalah dan ramai-ramai akan sebut “Donkey” kepadanya.
3. Penutup Botol
Permainan penutup botol ini turut dikenali sebagai ceper. 5 penutup botol minuman berkarbonat dikutip dan dibersihkan. Ada yang membuang pelapik penutup botol, dan ada juga yang meleperkan sedikit penutup botol mereka. Ia dipercayai akan meningkatkan kualiti skil mereka nanti.
Permainan ini menguji skil pemain seperti menimbang dan tuju tudung botol iaitu menjentik satu penutup botol ke arah satu lagi penutup botol yang lain. Jentikan yang terkena pada penutup botol yang disasarkan adalah dikira lulus. Jika terkena penutup botol yang lain ia akan dikira gagal. Pusingan seterusnya diteruskan oleh pemain lain. Itulah cabaran permainan ini. Walaupun dikatakan permainan ini untuk lelaki, masih ada perempuan yang tahu dan pandai bermain penutup botol.
Pemenang dikira daripada jumlah mata menimbang dengan 1 penutup botol mewakili 2 markah. Jenis-jenis bentuk penutup botol juga diberi nama yang unik seperti apabila tudung penutup bertindih dua, ia dipanggil ayam. Jika bertindih tiga, ia dipanggil jamban dan bunga jika bertindih empat.
Anda boleh lihat cara bermain penutup botol atau ceper disini:
4. Uno Stacko
Jika waktu itu ada rakan sekelas dari keluarga berada, mungkin Uno Stacko ini dibawa ke kelas untuk bermain bersama rakan-rakan. Pada tahun 90-an Uno Stacko ini adalah satu permainan yang mahal. Kini harganya RM59.90 per kotak. Uno Stacko adalah permainan menyusun blok-blok pelbagai warna dan nombor hingga menjadi bangunan atau menara tinggi. Kemudian, dadu di baling dan nombor serta warna yang terpapar itu menandakan anda perlu menarik keluar satu blok tersebut dan menyusunnya di permukaan blok yang paling atas. Sekiranya menara itu jatuh semasa anda melakukannya, anda dikira gagal.
5. Saidina dan Jutaria
6. Tetris Brick Game
Pada tahun 90-an, permainan tangan yang popular ialah Game Boy dari Nintendo dan Sega. Ketika itu ia dianggap permainan premium kerana harganya yang mahal. Jadi, ada sebuah permainan tangan yang menjadi alternatif dan kegilaan kanak-kanak pada waktu itu iaitu Tetris Brick Game yang berharga antara RM30 hingga RM50. Ada kanak-kanak yang sanggup kumpul duit untuk memilikinya. Itulah penangan Tetris Brick Game. Ini demo Tetris Brick Game dimainkan:
7. Compendium Board Games
Compedium of 30 Games mempunyai 30 jenis permainan papan. Antaranya ialah Ludo, Ular dan Tangga, Solitarie, Dam, Catur Cina. Ia direka untuk kanak-kanak berusia 5 tahun ke atas. Kepelbagaian permainan di dalam satu kotak membuatkan ia menjadi pilihan pada tahun 90-an. Tambahan pula dengan harganya yang mampu milik. Set ini disertakan 2 dadu, 1 manual arahan, 6 papan permainan dan 108 pelbagai warna token.
8. Batu Seremban
Permainan batu seremban ini popular di kalangan perempuan.Nama lain bagi batu seremban ialah batu selambut atau serembat. Ia dimainkan menggunakan batu, atau biji getah atau bantal kecil berisi kacang hijau atau beras secara berkumpulan iaitu dua orang atau lebih. Permainan ini menguji ketangkasan seseorang dalam aksi mengutip buah (iaitu batu atau objek seakan bulat) dan mengumpul mata. Tahap paling mudah ialah buah satu dan tahap paling susah ialah buah tujuh.
Ini adalah permainan batu seremban:
Oh ya! Ada satu permainan di Korea seakan-akan permainan batu seremban juga. Menariknya permainan tersebut apabila ia turut dimainkan oleh lelaki Korea. Ia dipanggil Gong-gi.
9. Lompat Getah
Lompat getah atau lompat tali dan zero point oleh sesetengah orang merupakan sejenis permainan tradisional di Malaysia dengan menyantumkan sebilangan besar getah-getah hingga terbentuk tali panjang. Hujungnya dimatikan ikatan agar tidak tertanggal ketika bermain. Semua permainan yang disebut sebelum ini memerlukan sekurang-kurangnya 2 orang pemain tetapi tidak bagi permainan lompat getah ini. Ia memerlukan 3 orang pemain iaitu 2 orang pegang getah dan mengayunkannya dan seorang akan berada di tengah dan mula melompat apabila tali getah diayunkan.
Bonus: Tonton Pita Video
Aktiviti ini berlaku di sekolah saya pada tahun 1996 iaitu Sekolah Kebangsaan Kajang, Selangor. Kami menggunakan bilik muzik bagi memasang pita video di televisyen dengan kebenaran guru. Ramai kawan-kawan berkumpul dan menontonnya bersama. Pita-pita video dibawa oleh kawan-kawan. Antara filem yang dipaparkan pada waktu itu ialah siri filem Mighty Ducks yang mengisahkan tentang semangat setiakawan di dalam permainan hoki ais.
Bagaimana dengan anda selepas selesai UPSR? Apakah yang anda lakukan bersama kawan-kawan di sekolah? Kami mahu dengar cerita dan pendapat anda di ruangan komen di sini atau di Facebook The Vocket.