Memang tidak dinafikan, ada kalanya kita mungkin sudah lapar namun terlupa membawa wang pula untuk makan di sesebuah kedai makan berdekatan. Jadi, kita mungkin akan berbincang dengan tuan kedai untuk mendapatkan makanan.

Namun, sebuah kedai nasi kandar terkemuka di Malaysia telah berkongsi satu kisah unik di mana seorang individu mahu melakukan pertukaran barang seperti sistem barter untuk mendapatkan juadah di situ.

Melalui akaun rasmi Facebook Nasi Kandar Sulaiman, pemiliknya menceritakan tentang seorang individu yang mahu membeli sebungkus nasi berharga RM10 di kedainya.

Namun, individu berkenaan memberikan alasan tidak mempunyai wang lalu ingin membuat pertukaran rokok miliknya dengan nasi kandar di situ seperti sistem barter yang biasa dibuat pada dahulu kala.

Sumber Gambar: FB Nasi Kandar Sulaiman

Tindakan tersebut bagaimanapun dianggap tidak masuk akal kerana individu terbabit tidak mempunyai wang untuk membeli nasi kandar tapi ada pula duit untuk membeli rokok.

“Dia nak buat macam sistem barter kot. Duit tak de nak beli makan tapi rokok boleh beli pula. Bagi kotak rokok buat macam kita hisap rokok,” tulisnya di kapsyen.

Dalam masa sama, pemilik kedai nasi kandar terkemuka itu lantas meluahkan rasa tidak puas hati dengan pertukaran tersebut seolah-olah mengganggap semua orang menghisap rokok seperti individu terbabit.

Dia juga mengesahkan bahawa kejadian ini memang terjadi dan bukannya konten.

Perkongsian hantaran itu lantas menerima pelbagai reaksi daripada netizen, rata-ratanya meluahkan rasa geli hati dengan kisah tawaran pertukaran oleh individu terbabit.

“Mana boleh barter. tak sama.. kat kotak rokok tu tulis rokok mengakibatkan keguguran.. nasi kandar mengakibatkan kekenyangan.. tak sama,” seloroh netizen.

“Ujian dan dugaan dalam hidup. kita akan berjumpa pelbagai kerenah perangai manusia,” kongsi netizen.

“Boleh hangpa buat mcm ni Na.. Tu rokok seludup, barang seludup ni, usahkan Nak jual, nak buat barter pun tak boleh. Tp tu la, mcm mana dia boleh minta harga nasi RM10 sedangkan takde duit,” soal seorang lagi.

Walaupun ramai merasa ia sesuatu kejadian yang lucu, masih sebahagian merasakan individu terbabit mungkin mengalami masalah ekonomi sehingga terpaksa melakukan perkara sedemikian demi meneruskan kehidupan.

Sumber