Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Thailand, Alexandré Pölking dilaporkan menjadi calon untuk menggantikan Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih baharu pasukan Selangor.
Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana rundingan antara dua pihak sedang berlangsung ketika ini.
🚨Bekas jurulatih Thailand Mano Polking difahamkan antara calon jurulatih baru Selangor untuk menggantikan Tan Cheng Hoe. Polking sebelum ini dapat offer kelab V. League 1 Cong An Ha Noi. Negotiations ongoing.⏳@ASTROARENA pic.twitter.com/5aFsHH45o3
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) March 5, 2024
Alexandré Pölking memiliki pengalaman luas mengenai bola sepak Asia Tenggara khususnya di Thailand dimana selain pernah memegang jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan negara itu, beliau juga pernah menguruskan beberapa kelab di sana.
Antara kelab yang pernah dikendalikan oleh Polking ialah Army United, Suphanbhri dan Bangkok United dimana kemudiannya beliau mengambil tugasan sebagai ketua jurulatih kelab Vietnam, Ho Chi Minh City.
Bersama skuad Gajah Perang, jurulatih kelahiran Brazil itu membimbing pasukannya memenangi dua Piala AFF iaitu pada edisi 2020 dan 2022.
Pada edisi 2020, Thailand menewaskan Indonesia dengan keputusan agregat 6-2 pada perlawanan akhir manakala pada 2022, pasukan itu menewaskan Vietnam dengan keputusan agregat 3-2.
Selain membimbing skuad senior, jurulatih berusia 47 tahun itu juga pernah mengendalikan skuad B-23 Tahun Thailand dimana beliau membantu skuad itu memenangi pingat perak temasya Sukan SEA.
Selepas meninggalkan Selangor, Tan Cheng Hoe menegaskan Nidzam Jamil merupakan individu yang tepat bagi menggantikan beliau sebagai ketua jurulatih skuad Gergasi Merah.
Jurulatih berusia 55 tahun itu percaya Nidzam yang juga pembantunya sebelum ini akan menjalankan tugas yang baik dan diterima dengan baik oleh pemain.
“Saya telah mengawasi beliau dan dia mempunyai potensi. Nidzam akan melakukan kerja yang baik. Semasa dia menjadi pembantu saya, dia banyak membantu serta mendorong kami untuk bermain dengan baik musim lalu,” katanya menurut laporan NST.
Nidzam Jamil ketika ini dilantik sebagai pengendali sementara Selangor dimana pasukan itu sedang membuat persiapan menjelang saingan musim ini di Thailand.