Kisah hidup Putera Thailand, Paribatra Sukhumbandhu, anak kepada Raja Chulalongkorn atau lebih dikenali sebagai Rama V, adalah satu cerita yang penuh dengan liku-liku kehidupan.

Dari hidup mewah di istana Bangkok hingga menjadi tukang kebun di Bandung, Indonesia perjalanan hidupnya membuktikan bahawa nasib manusia boleh berubah sekelip mata.

Menurut laporan CNBC Indonesia, beliau dilahirkan pada 29 Jun 1881, Paribatra menikmati kehidupan yang serba mewah dan berkedudukan tinggi dalam kerajaan Siam (kini Thailand).

Sebagai anak ke-33 kepada Raja Rama V, beliau diberikan jawatan penting seperti Panglima Tentera Laut dan Menteri Dalam Negeri.

Namun, pada 24 Jun 1932, segala-galanya berubah apabila berlaku rampasan kuasa yang menggulingkan kuasa bapanya.

Paribatra, yang terlibat secara langsung dalam politik dan kerajaan, terpaksa meninggalkan istana yang telah didiaminya selama 50 tahun.

Selepas diusir dari Siam, Paribatra memilih untuk menetap di Hindia Belanda (kini Indonesia).

Pada Ogos 1932, beliau tiba di Batavia (Jakarta) sebelum akhirnya menetap di kawasan Cipaganti, Bandung.

Pilihan Bandung bukanlah secara kebetulan; suasana sejuk, tenang, dan pemandangan yang indah di kota itu sesuai dengan jiwa orang-orang terbuang sepertinya.

Walaupun berada dalam buangan, Paribatra masih dihormati oleh pegawai-pegawai tinggi Hindia Belanda yang menganggapnya sebagai tokoh penting.

Beliau diberikan kebebasan di Bandung, termasuk tiga rumah besar untuk dijadikan kediamannya.

Di sinilah, putera raja ini menemui minat baru—menjadi tukang kebun dan pakar orkid.

Di rumah barunya, Paribatra menghabiskan hari-harinya dengan berkebun.

Beliau berjaya membina sebuah taman bunga yang cantik di hadapan rumah, yang kemudiannya dikenali sebagai taman orkid terindah di Bandung.

Paribatra juga memperkenalkan benih orkid yang disebarkan di seluruh kawasan tersebut, memenuhi hasratnya untuk memeriahkan kota Bandung dengan bunga-bunga yang indah.

Selain berkebun, Paribatra turut mengisi masa dengan melancong ke pelbagai tempat di Indonesia, termasuk Jawa, Sumatera, dan Bali.

Setiap kali beliau bercuti, media tempatan akan mengikuti jejak langkahnya, menjadikannya tokoh terkenal yang masih dihormati walaupun dalam buangan.

Kehidupan Paribatra berakhir pada 18 Januari 1944, ketika beliau meninggal dunia pada usia 62 tahun di Bandung.

Beliau dikebumikan di sana, namun pada tahun 1948, mayatnya dipindahkan kembali ke Thailand untuk dibakar di Istana Raja Bangkok, sesuai dengan tradisi diraja.

Kisah Paribatra Sukhumbandhu adalah refleksi kepada hakikat kehidupan—bahawa tiada apa yang kekal.

Dari seorang putera raja yang berkuasa, beliau menjadi tukang kebun yang mengabdikan hidupnya kepada keindahan alam.