Pada hari minggu baru-baru ini tular satu rakaman video dashcam di mana sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbalik selepas terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Gerik baru-baru ini.
Dalam kemalangan itu, bayi sulung mereka berusia 34 minggu yang masih dalam kandungan kehilangan nyawa. Manakala mangsa wanita pula cedera parah, lapor Kosmo.
Baca Juga:
- Baru Buka Dah Terkoyak, Netizen Minta Anthony Loke Pantau Vendor Pelekat ‘Roadtax’
- Anthony Loke Tegaskan Enggan Jawab Sebarang ‘Isu Politik’ Di Sidang Media Kementerian Pengangkutan
- Miliki Rekod Cemerlang, Kesatuan Pekerja KTMB Mahu Anthony Loke Dilantik Sebagai Menteri Pengangkutan
Insiden kemalangan ngeri itu telah menarik perhatian Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke yang telah mengarahkan dua jabatan kerajaan untuk mengambil tindakan segera terhadap pemandu dan syarikat lori tersebut.
“Saya berasa amat simpati dengan keluarga mangsa kemalangan ini yang kehilangan bayi sulung mereka. Salam takziah kepada keluarga.
“Saya telah mengarahkan JPJ dan APAD untuk mengambil tindakan segera terhadap pemandu dan syarikat tersebut. Permit operasi syarikat lori ini akan digantung sementara untuk audit ke atas semua lori mereka.
“Saya tidak akan berkompromi dengan pemandu dan syarikat yang membahayakan orang ramai di atas jalanraya,” petik kenyataan daripada Facebook Anthony Loke.
Arahan Menteri Pengangkutan itu disambut baik oleh netizen, ramai memuji tindakan proaktif yang diambil oleh beliau dalam menangani kes kemalangan ngeri itu dalam masa yang singkat.
Terdahulu sebuah lori yang membawa lebih muatan dirakam memandu melebihi had laju dibenarkan sehingga menyebabkan kemalangan. Pemandu lori tersebut bertindak melarikan diri dari tempat kejadian namun, berjaya ditahan pihak polis semasa operasi sekatan jalan raya sekitar Jeli, Kelantan.
*Ikuti Facebook dan Instagram VOCKET CAR CLUB untuk ketahui perkembangan dan isu semasa automotif dari dalam dan luar negara.