Saban hari semakin ramai pemain warisan yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan Malaysia sekaligus berpotensi untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.

Baru-baru ini, pemain yang beraksi bersama kelab Switzerland, Grasshopper iaitu Joshua Laws yang beraksi di posisi pertahanan dikhabarkan mempunyai pertalian dengan Malaysia dimana bapanya berasal dari Sabah.

Baca Juga:

Menurut perkongsian Future Talents, Joshua yang dilahirkan di Glasgow, Scotland boleh beraksi bersama tiga pasukan kebangsaan iaitu Scotland, Malaysia dan Australia.

Sebelum ini, beliau pernah beraksi bersama skuad B-15 dan B-16 Tahun Scotland selain skuad B-17 Australia untuk Piala Dunia B-17 FIFA 2015 di Chile. Laws bermain sebagai pertahanan tengah dalam keempat-empat perlawanan pada kejohanan itu dimana mereka tersingkir dalam Pusingan 16 pasukan terakhir.

Laws kemudiannya dipilih untuk beraksi bersama pasukan bawah 23 tahun Australia untuk Kejohanan AFC B-23 2020 dan bermain dalam perlawanan peringkat kumpulan menentang Thailand.

Sebelum ini, seorang lagi pemain pertahanan iaitu Joshua Rawlins disifatkan mempunyai potensi untuk mengikut jejak langkah Matthew Davies selepas dua pemain ini mempunyai beberapa persamaan.

Rawlins dan Davies memiliki persamaan seperti memulakan karier profesional mereka bersama kelab yang beraksi dalam saingan Liga Australia iaitu Perth Glory.

Matthew Davies menyertai Perth Glory pada 2013 manakala Rawlins mula beraksi bersama pasukan itu sekitar 2019 bersama skuad pembangunan.

Apa yang lebih menarik, dua pemain itu beraksi di posisi pertahanan kanan dan dilahirkan di Perth, yang mana kedua-dua pemain turut mempunyai pertalian darah dengan Malaysia menerusi ibu mereka.

Davies yang pernah beraksi untuk skuad muda Australia telah memilih untuk mewakili Malaysia dan beberapa kali diberi tanggungjawab untuk menggalas tugasan sebagai ketua pasukan skuad Harimau Malaya.

Manakala Rawlins pula belum membuat keputusan untuk mewakili pasukan kebangsaan negara mana selepas dia sering menjadi tonggak utama skuad muda Australia.

Selain beraksi di Liga Australia, pemain berusia 20 tahun itu juga pernah beraksi di Liga Belanda bersama skuad pembangunan FC Utrecht sebelum dipinjamkan ke Perth pada awal musim ini.