Jaguh berbasikal trek negara, Dato Azizulhasni Awang mengejutkan peminat sukan tanah air apabila tersingkir seawal saringan pertama acara keirin lelaki Sukan Olimpik Paris 2024 semalam.
Penyingkiran itu menyebabkan impian pelumba yang berusia 36 tahun untuk mengenggam pingat emas tidak kesampaian sekaligus menjadi bualan pelbagai pihak.
Baca Juga:
Penyertaan Azizulhasni dibatalkan kerana didakwa memotong pacer (basikal elektrik yang berada di hadapan) sebelum pacer meninggalkan trek sekaligus memaksa perlumbaan dimulakan semula tanpa kehadiran beliau.
Bagaimanapun, Azizulhasni tampil menjelaskan situasi sebenar yang berlaku ketika perlumbaan tersebut menerusi laman sosialnya.
“Ketika undian dibuat, saya mendapat posisi terakhir iaitu enam. Saya kekal tenang dan untuk berlumba posisi tersebut ada perancangannya.
“Hasil perbincangan bersama jurulatih John Beasley, plan terbaik adalah untuk terus ke hadapan dan cuba mendapatkan posisi paling hadapan seawal mungkin.
“Ini adalah kerana ada beberapa pelumba front runner berada di hadapan. Jika pelumba hadapan terus memecut awal, ianya akan meletakkan saya di situasi sukar untuk bergerak ke hadapan pada kelajuan tinggi.
“Akan ada kemungkinan dihalang dan berada jauh dari beberapa pelumba hadapan jika saya menggunakan taktik menunggu. Jadi, saya harus memilih taktik terbaik untuk meningkatkan kemungkinan untuk menang dan bergerak awal ini juga saya ada lakukan ketika pusingan awal di Olimpik Tokyo dahulu,” jelasnya.
Azizulhasni mengatakan perancangannya adalah untuk bergerak ke hadapan dan berada di sebelah pelumba pertama atau kedua. Selepas pacer keluar, beliau akan terus memecut untuk merebut kedudukan posisi paling hadapan.
“Namun ketika melepas selekoh ketiga dan sebelum memasuki selekoh keempat, saya dihalang dengan himpitan dari pelumba Perancis. Himpitan itu terlalu aggresif dan bagi saya ialah adalah intentionally aggressive kerana melanggar saya (boleh rujuk gambar) dan hampir terjatuh.
“Tidak cukup dengan itu, beliau masih mengekori rapat disebelah dan masih cuba memberikan himpitan kedua. Dalam keadaan seperti itu, reaksi saya adalah bergerak ke hadapan untuk mengelak beliau,” katanya.
Pemenang pingat Perak Olimpik Tokyo 2020 itu turut terkejut dengan kelajuan PacerĀ yang didapati lebih perlahan dan lambat keluar dari trek.
“Sebagai seorang pelumba keirin yang elit, kita tahu kelajuan untuk pacer sebelum keluar. Biasanya di lap terakhir, pacer akan memecut keluar selepas melepasi selekoh empat dari kelajuan 50-55kmh. Akan tetapi pada perlumbaan saya tadi, pacer bergerak lebih perlahan berbanding kelajuan sebenarnya dan tidak memecut keluar selepas selekoh empat.
“Saya yang tengah bergolak dengan pelumba perancis itu perasan pacer masih belum memecut keluar, terkejut dan cuba back pedal sebagai cara untuk breaking tetapi malangnya tak sempat untuk memperlahankan kelajuan seperti yang diinginkan,” jelas Azizulhasni lagi.
Sejurus selepas dibatalkan penyertaan, jurulatih dan pengurus pasukan, Izham Mohammad berjumpa pihak panel komisar untuk membuat rayuan dengan menjelaskan keadaan sebenar.
Mereka memohon untuk melihat kembali rakaman video perlumbaan namun komisar memilih untuk kekal dengan keputusan yang sama.
Baca penjelasan lebih lanjut menerusi laman instagram Azizulhasni Awang.