Sementara dunia sedang hangat dengan ChatGPT, arena kriptowang pula seperti sudah sunyi sepi tanpa khabar berita. Kini sejumlah ikon antarabangsa pula didakwa oleh Securities and Exchange Commission (SEC) kerana mempromosikan skim kriptowang secara tidak telus.
Antara nama ikon popular yang mencuri perhatian daripada senarai itu adalah Jake Paul dan Lindsay Lohan. Difahamkan sebanyak lapan individu popular yang telah didakwa oleh pengawal selia Amerika Syarikat kerana mempromosikan kriptowang TRX dan BTT di platform media sosial peribadi tanpa memberitahu sudah dibayar oleh seorang pelabur kriptowang.
Baca Juga:
- Pasaran Kripto Semakin Tenat, Majoriti Platform Dagangan Kriptowang Terpaksa Lepaskan 40% Pekerja
- Sekadar ‘Hype’ Dan Tidak Stabil, Ini Respon Tun Mahathir Terhadap Kriptowang
Hal ini sekaligus membuat ramai pengikut mereka mahu melabur dan membeli kriptowang tersebut dan tertipu menyangka ikon kegemaran mereka benar-benar berminat dengan kriptowang tersebut.
Difahamkan dalang di sebaliknya merupakan seorang pelabur kripto bernama Justin Sun yang giat menggunakan ikon terkemuka untuk mempromosikan aset kriptowang TRX dan BTT supaya mendapatkan keuntungan menerusinya.
Bukan itu sahaja, Sun bersama syarikatnya dilaporkan memanipulasi jumlah dagangan bagi kedua-dua kriptowang itu menerusi platform dagangan tidak berdaftar untuk mempamerkan aktiviti dagangan yang aktif. Tindakan memalsukan jumlah dagangan ini turut memberi impak kepada kestabilan harganya yang lebih baik.
Dengan berbuat sedemikian, Sun dilaporkan lebih mudah untuk menjual kriptowang tersebut di samping mengaut keuntungan berjumlah $31 juta (~RM137 juta) hasil daripada jual beli yang tidak sah menerusinya.
Dalam pada itu beberapa individu terbabit telah pun membayar sebanyak RM1.7 juta untuk menyelesaikan pertuduhan itu. Sementara yang lain, masih belum memberi penerangan dan ada yang berunding bersama peguam peribadi dalam menyelesaikan pertuduhan itu.