Banglo dua tingkat yang pernah didiami Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini kini telah dirobohkan dan diratakan oleh pemilik baharu yang merancang untuk pembinaan bangunan pejabat.

Sharifah Aini yang lebih mesra dengan panggilan Kak Pah meninggal dunia pada 5 Julai 2014 di Pusat Perubatan Pakar Damansara pada usia 61 tahun, akibat jangkitan pada paru-paru.

Taobao
HYPE
Raya Extra Meriah! 5 Dekorasi DIY Dari Taobao Wajib Ada Untuk Rumah Anda!
Baca lagi →

Baca Juga:

Bagaimanapun, anak lelakinya, Aliff Omar Ali memutuskan untuk menjual banglo itu kerana ia terlalu besar untuk diduduki dan kos selenggara tinggi.

Beberapa laporan mendakwa, banglo itu dijual pada harga RM8 juta, empat tahun selepas pemergian arwah.

Banglo Sharifah Aini Kini Dirobohkan Dan Hanya Tinggal Timbunan Runtuhan
Rupa banglo Sharifah Aini sebelum dirobohkan

Pada zaman kegemilangannya, banglo itu dilengkapi dengan perpustakaan, dua dapur, sembilan bilik tidur, tujuh bilik air, dewan acara, lima ruang tamu, kolam ikan dan bilik pembantu rumah.

Banglo itu juga mempunyai bilik almari pakaian yang dikatakan kelihatan seperti galeri pameran.

Wakil syarikat pemaju, CT Tang mengakui terkejut apabila masuk ke salah satu ruangan di dalam banglo itu dan mendapati banyak koleksi kaset dan cakera padat (CD) milik Allahyarham.

“Saya masuk ke salah satu bilik, saya nampak banyak kaset, CD lama milik Sharifah Aini. Saya terkejut. Sebelum proses robohkan rumah dijalankan, saya tidak tahu itu rumah dia (Allahyarham Sharifah Aini).

“Saya tertanya-tanya ini siapa punya rumah. Rumah ini datang dengan reka bentuk dan kayu mahal yang lama. Semua kaset disusun rapi dalam bilik tersebut,” katanya kepada Astro AWANI.

Tang turut mendedahkan syarikat Al-Ambia membeli kediaman itu dengan harga sekitar RM4 juta.