Kelab gergasi LaLiga, Barcelona dilaporkan bersedia untuk melepaskan lapan pemain dalam usaha untuk menambah dana bagi mendapatkan pemain baharu.

Masih dibelenggu dengan masalah kewangan, kelab yang kini dibimbing oleh Hansi Flick itu tidak boleh mengeluarkan dana sesuka hati untuk merekrut pemain.

Baca Juga:

Menurut sumber laporan Sport Bible, The Blaugrana menghadapi kesukaran untuk mematuhi peraturan LaLiga kerana hutang yang mereka tanggung.

Lebih menyulitkan lagi keadaan, situasi tersebut juga membuatkan mereka bergelut untuk mendaftarkan pemain dengan segera.

Namun, selera juara 27 kali kempen liga itu tidak kurang tinggi kerana mengimpikan untuk membawa masuk duo pemenang Euro 2024 iaitu Dani Olmo dan Nico Williams.

Dalam usaha mendapatkan dua pemain tersebut, Barcelona bagaimanapun perlu menjual beberapa pemain mereka.

Antara pemain yang berada dalam senarai tersebut ialah Ilkay Gundogan, Frenkie De Jong, Ronald Araujo, Raphinha, Vitor Roque, Clement Lenglet, Mikayil Faye dan Ferran Torres.

Daripada senarai tersebut, De Jong dan Araujo kelihatan agak sukar untuk dibawa keluar kerana kedua-dua mereka sedang mengalami kecederaan.

Gundogan, Raphinha dan Vitor Roque dikatakan berada dalam radar kelab saingan Saudi Pro League.

Isu kewangan Barcelona bukanlah perkara baharu apabila sebelum ini kelab itu berdepan masalah untuk mendaftarkan Hansi Flick bersama barisan kejurulatihannya.

Tidak hairanlah bekas pengurus, Xavi memberikan nasihat ikhlas kepada pengendali baharu Barcelona bahawa sesiapa sahaja yang menjadi penggantinya, individu tersebut akan ‘merana’.

Sumber