Syarikat penerbangan premium, Batik Air telah mengumumkan penambahan tiga laluan baharu menuju ke Sabah dan Sarawak.

Langkah tersebut dalam usaha Batik Air mengembangkan lagi rangkaiannya dan menawarkan lebih banyak akses terus buat pelancong ke tengah-tengah Malaysia Timur.

Baca Juga:

Laluan baharu membabitkan perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Bintulu, Miri dan Sandakan dimana ia akan meningkatkan lagi kemudahan untuk pelancong dan urusan perniagaan.

Menurut kenyataan rasmi dikeluarkan, laluan Kuala Lumpur ke Bintulu akan bermula pada 1 November 2024 dan laluan Kuala Lumpur ke Sandakan pada 1 Disember 2024. Manakala, laluan Kuala Lumpur menuju ke Miri pula bermula pada 14 Januari 2025.

Laluan Kuala Lumpur – Bintulu akan beroperasi sepuluh kali seminggu, manakala dua lagi laluan iaitu Kuala Lumpur – Miri dan Kuala Lumpur – Sandakan pula akan ‘terbang’ sebanyak 14 kali seminggu.

Satu keadaan yang jelas menawarkan pilihan perjalanan yang mudah dan fleksibel buat penumpang.

Sehubungan dengan pembukaan laluan baharu itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy menegaskan dedikasi syarikat penerbangan tersebut dalam menyokong pertumbuhan di Malaysia Timur.

Beliau berpendapat Bintulu, Miri dan Sandakan merupakan destinasi yang mempunyai potensi besar sebagai kawasan tumpuan pelancong mahu pun pusat kuasa industri.

Pada 13 September lalu, Batik Air telah membuka laluan ke ke dua destinasi yang sentiasa menjadi pilihan rakyat Malaysia iaitu Hat Yai dan Krabi.