• Johor Darul Ta’zim (JDT) memastikan kejuaraan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) Divisyen 1 2024 menjadi milik mereka selepas berjaya menundukkan KL City 9-2 pada aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Pasir Gudang, sebentar tadi.

Kejayaan manis dilakarkan di hadapan penyokong sendiri itu sekali gus menebus kehampaan skuad kendalian Juan Antonio Miguel Garcia yang dua kali hampa di pentas final musim lalu.

Berdepan lawan yang masih belum mampu mengutip sebarang mata pada musim ini, JDT bagaimanapun tidak diberikan laluan mudah terutamanya pada peringkat awal permainan.

Dapat disaksikan KL City bermula garang dengan beberapa percubaan berbahaya dilancarkan ke gawang JDT, tetapi penjaga gol, Azrul Hadee Mohd Taufiq kental menangkis deretan asakan tersebut.

Kem tuan rumah melonjak kegembiraan pada minit keenam selepas Ridzwan Bakri menyudahkan percubaan susulan dari luar kawasan D setelah rembatan awal Firdaus Ambiah diselamatkan penjaga gol KL City, Muhamad Arif Alias untuk meletakkan JDT dihadapan.

JDT kemudiannya menambah jaringan kedua berselang empat minit kemudian menerusi pemain berpengalaman, Abu Haniffa Hassan.

Tidak cukup dengan kelebihan dua gol tersebut,  Bruno Taffy meledakkan rembatan dari luar kawasan D setelah menerima umpanan baik daripada Caio Cesar Garcio Rego untuk mengukuhkan kedudukan pada minit ke-11.

Abu Haniffa Hassan kemudiannya menggandakan kedudukan selepas percubaan leretnya dari sebelah kiri pintu gol gagal diselamatkan Arif.

Tidak sampai seminit jaringan tersebut terhasil, Caio mudah menguis masuk bola hasil sepakan percuma yang diambil Bruno Taffy.

Empat lagi gol JDT disumbangkan oleh Ridzwan, Awalluddin Mat Nawi, Aizat Sa’ari dan Firdaus Ambiah manakala dua gol saguhati pasukan pelawat dicipta Eom Jiyong dan Ahmad Zulfathi Zubir.