Kita dapat melihat sejumlah gambar sajian makanan yang dimuat naik oleh para pengguna di media sosial lebih-lebih lagi di siang hari di bulan Ramadhan. Walaupun ada yang mengganggap ia sebagai perkongsian sahaja, kita pasti ingin mengetahui hukumnya dari sudut syarak.

Dalam menjawab persoalan ini, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Halim Wan Mohd Noor telah menasihati umat Islam supaya tidak memuat naik gambar-gambar makanan, minuman atau individu yang sedang menikmati juadah ke dalam media sosial sebelum waktu berbuka puasa.

Baca Juga:

Sumber Gambar: Saiful Nang Academy

Menurut beliau, tindakan berkongsi gambar makanan itu sendiri tidak membatalkan puasa namun perbuatan orang yang memuat naik gambar itu mungkin boleh menggalakkan orang lain untuk meninggalkan puasa mereka. Perkara ini sudah pasti bertentangan dengan ajaran Islam.

Oleh yang demikian, orang yang berkongsi gambar makanan dan minuman boleh jatuh hukum berdosa kerana mereka seolah-olah mendorong orang lain untuk meninggalkan puasa. Ibadah ini tidak boleh dipandang ringan memandangkan puasa merupakan salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan.

Justeru itu, beliau menasihati umat Islam untuk berhenti menggalakkan orang lain berbuat dosa dengan berkongsi gambar-gambar makanan ke dalam media sosial sebelum waktu berbuka.

Selain itu, beliau turut menggesa pihak penguatkuasa agama Islam negeri-negeri untuk memantau restoran-restoran dan mengambil tindakan tegas ke atas premis perniagaan yang menyediakan makanan atau minuman kepada orang Islam yang tidak berpuasa.

Sumber