Akbar Sinar Harian melaporkan bahawa, bermula Ogos, tidak ada lagi skim pinjaman penuh untuk beli kereta. Jadi ianya akan menjadi satu kesalahan jika pembeli atau penjual melakukan transaksi secara ‘full loan’ selepas ini, jika peraturan ini mulai dikuatkuasakan.

Laporan yang sama menyebut bahawa selepas ini setiap pembeli kereta yang mahu membeli kereta menerusi skim pinjaman atau ansuran, mereka harus membayar wang pendahuluan.

Wang pendahuluan atau deposit itu sekurang kurangnya 10% daripada jumlah keseluruhan pinjaman.

Seterusnya, laman Paul Tan pula melaporkan, LHDN akan mulai memperkenalkan e-invois. Ini akan turut mempengaruhi pembeli dan penjual kereta.

Ia akan menunjukkan secara digital tentang transaksi antara pembeli dan penjual kereta dengan format yang boleh dibaca oleh mesin.

Langkah untuk menghapuskan pinjaman penuh atau ‘full loan’ ini dikatakan diambil sebagai langkah mengatasi masalah penjual kereta yang tidak telus dalam penetapan harga. Mereka meletakkan ‘mark up’ harga lebih tinggi daripada sepatutnya ketika menghantar permohonan pinjaman daripada bank.

Antara cara pembeli menambah lagi amaun harga adalah dengan memasukkan sekali pakej aksesori tambahan, filem penapis sinaran matahari, kamera papan pemuka dan banyak lagi.

Oleh sebab itu Paul Tan turut memberikan senario bahawa, sebuah kereta berharga RM36,000 kini menjadi RM45,000. Ini kerana penjual cuba memaksimumkan harga berdasarkan nilai pinjaman yang pembeli itu layak dapat.

Selepas ini setiap penjual kenderaan harus menghantar e-invois mereka kepada kerajaan. Dan sistem ini dianggap boleh mengekang masalah ‘mark up’ harga yang melampau ini.

Semua proses harus melalui LHDN dan angka yang dinyatakan dalam e-invois itu harus sama dengan jumlah sebenar.