Program Perumahan Rakyat (PPR) merupakan satu inisiatif kerajaan dalam menangani masalah perumahan golongan berpendapatan rendah. Walaupun sudah diberi kadar sewa yang rendah, tetap ada segelintir individu yang berdegil tidak mahu membayar bulanan kepada pihak berkaitan.
Baru-baru ini, tular sebuah video di media sosial yang memperlihatkan pertengkaran antara penyewa PPR bersama pihak DBKL dalam menyelesaikan isu tunggakan yang berlarutan.

Di dalam video itu, seorang wanita yang dipercayai penduduk di PPR mempunyai tunggakan bil sewa selama lapan bulan. Wanita itu kelihatan seperti tidak berpuas hati apabila didatangi oleh pihak DBKL bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Dia mula mempersoalkan tindakan pihak DBKL kerana dituduh mengganggu keluarganya dan memainkan beberapa isu lain sebagai bela diri.
Apabila dinyatakan kadar sewa bulanan hanya RM124 sahaja, wanita terbabit lalu menjawab tidak mampu membayarnya kerana tidak mempunyai wang.
Dalam mendapatkan kata sepakat, pihak DBKL sedia berunding dengan menyediakan pelan ansuran namun wanita itu tetap dengan pendiriannya yang tidak mahu berbuat sedemikian.
@malaysiakantoi dalam whatsapp group kata akak ni tak bayar sewa PPR 8 bulan. #fyp #madani #dbkl #kualalumpur
Perkongsian video itu telah meraih perhatian netizen dan rata-ratanya mempersoalkan keengganan wanita itu melaksana tanggungjawab sebagai penduduk PPR dengan membayar bil sewa yang ditetapkan.


Sementara itu, netizen turut membidas tindakan wanita itu bermulut lancang walaupun pihak DBKL sudah berlemah lembut ketika berunding. Ramai turut meluahkan rasa terkejut apabila mendengar masih wujud sewa serendah itu pada masa kini.