Rapper tersohor negara, iaitu Malique sudah lama mendiamkan diri dari industri muzik dan membuat haluan tersendiri tanpa boleh dikesan oleh dunia luar.

Bagaimanapun, pada hari semalam, nama beliau menjadi sebutan semula apabila muncul dengan akaun laman Instagram baharu yang menggunakan nama Maliqueibrahimqarma.

Setakat artikel ini ditulis, akaun tersebut sudah mempunyai lebih 60,000 pengikut dan Malique atau nama sebenarnya Cairel Adrin Ibrahim didapati hanya mengikuti akaun Instagram studio miliknya, Qarma Studio.

Malique juga didapati mula memuat naik beberapa foto pada Selasa memperlihatkan suasana studio serta penyanyi Amir Jahari yang sedang memegang gitar dan pada hari berikutnya turut disiarkan gambar pelawak Zizan Razak bersama trofi.

Selain itu, beberapa foto memperlihatkan pemandangan dipercayai kawasan percutian di luar negara yang mungkin dilawati oleh keluarganya.

Tidak sekadar itu, Malique didapati membuka akaun TikTok dengan nama yang sama dan telah memuat naik tiga gambar menerusinya.

Kemunculan rapper lagenda itu langsung menjadi topik sensasi di media sosial dan ramai mula berteka-teki jika kalau ini mungkinkah jadi petanda yang dirinya bakal memasuki industri hiburan semula.

Atau juga dia sedang menghasilkan lagu dengan artis Amir Jahari dan juga Zizan Razak yang mana kedua-duanya mempunyai kekuatan tersendiri di dalam seni muzik.

Maka, tularlah ayat Malique is back walaupun masih sekadar cakap kosong atau harapan oleh para peminat dan belum diketahui motif lagenda itu membuka akaun media sosial baharu itu.