Pasangan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melakar sejarah apabila berjaya melangkah ke pentas final kejohanan BWF World Tour Finals 2024 yang berlangsung di Hangzhou, China.

Kejayaan manis menundukkan rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dengan keputusan ‘straight set’ itu menjadikan Tang Jie dan Ee Wei sebagai wakil pertama daripada beregu campuran Malaysia yang akan membuat penampilan di final.

Taobao
HYPE
Raya Extra Meriah! 5 Dekorasi DIY Dari Taobao Wajib Ada Untuk Rumah Anda!
Baca lagi →

Malah, dengan format baharu yang bermula pada 2018, tiada langsung wakil negara yang melangkah sejauh ke pentas final.

Kemenangan itu juga turut menjadikan rekod pertemuan kedua-dua pasangan tersebut kepada 3-3 dalam enam pertembungan mereka dalam kalendar BWF.

Sempat ketinggalan 1-6 pada peringkat awal permainan, Tang Jie-Ee Wei pertama kali mendahului lawan mereka hanya pada kedudukan 15-14.

Ia jelas meningkatkan moral pasangan ranking kelapan dunia itu untuk terus memungut mata bagi meraih kemenangan set pertama dengan mata 21-15 dalam tempoh 20 minit.

Tugasan lebih mudah pada set kedua apabila Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak memandang ke belakang lagi selepas mendahului 11-10 untuk mengesahkan kemaraan ke final dengan kemenangan 21-12.

Kemenangan manis itu menyaksikan mereka akan menanti pemenang antara dua jagoan China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong dan Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xing yang akan bertemu sesama sendiri sebentar lagi.

Manakala dengan kekalahan yang dialami, Goh Soon Huat dan Shevon Lai Jemie sah akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai $50,000 (RM223,257.90).

Sementara itu satu lagi wakil negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani akan turun pada petang ini bertemu bekas pasangan ranking nombor satu dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.