Tiada sebarang rekod yang dikesan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengenai kesan cap jari yang ditemui di lokasi kes simbah asid dialami oleh Faisal Halim.
Perkara ini dikongsikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dimana pihaknya sudah mendapatkan bantuan JPN bagi membuat semakan terhadap cari jari yang dianalisis pihak forensik.
Baca Juga:
- TERKINI: Faisal Halim Dibenarkan Pulang Dari Hospital
- Peminat Selangor Lancarkan Petisyen, Mahu Keadilan Untuk Faisal Halim
- Polis Siasat Penyebar Video CCTV Faisal Halim Disimbah Asid
“Apabila JPN periksa, tiada sebarang rekod dalam sistem, kemungkinan cap jari ditinggalkan bukan ibu jari.
“Bagaimanapun, kita giat mencari bukti-bukti bagi siasatan kes terbabit,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Sebelum ini, media melaporkan hasil analisa yang dilakukan mendapati lima daripada lapan cap jari ditemukan di lokasi kejadian, tidak cukup sifat.
Razarudin dilaporkan berkata, baki tiga cap jari lagi tidak mempunyai padanan dalam pangkalan data Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sebelum ini, tular rakaman video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) simbahan asid terhadap Faisal Halim sekitar pusat beli belah di Damansara.
Menerusi video tersebut, memperlihatkan seorang lelaki bertopi sedang menunggu Faisal yang menuju ke arah keretanya sebelum bertindak menyimbah asid itu.
Sejurus selepas terkena asid tersebut, Faisal terus berlari menyelamatkan diri manakala seorang wanita dipercayai isterinya mengejar pelaku tersebut yang menaiki motosikal bersama rakan subahat.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini mengedarkan lakaran wajah suspek yang terlibat dengan kes simbah asid itu.
Menurut satu kenyataan rasmi, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata anggaran umur suspek ialah 30 tahun dengan ketinggian 165 sentimeter.
Beliau memaklumkan suspek juga mempunyai susuk badan sederhana dan berkulit sawo matang.