Colombia bakal berhadapan dengan Argentina pada perlawanan akhir Copa America 2024 selepas berjaya menundukkan Uruguay 1-0 di Bank of America Stadium, sebentar tadi.

Jaringan tunggal Jefferson Lerma pada babak pertama sudah cukup untuk membawa Colombia ke pentas final buat kali ketiga dalam sejarah kejohanan tersebut.

kuih raya
HYPE
Dari Dapur Nenek Ke Dapur Moden: Kuih Raya Tradisi Dengan Elemen Inovatif
Baca lagi →

Baca Juga:

Colombia sebelum ini pernah mengecapi nikmat selaku juara pada tahun 2001 dan muncul naib juara ketika edisi 1975.

Seperti dijangka, perlawanan melibatkan kedua-dua pasukan itu berlangsung dengan intensiti tinggi serta cukup fizikal dapat disaksikan puluhan ribu penyokong yang membanjiri stadium.

Berpunca daripada sepakan penjuru diambil James Rodriguez, Lerma melonjak untuk menanduk masuk bola bagi meletakkan pasukannya dihadapan pada minit ke-39.

Tujuh minit kemudian,  Colombia terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Daniel Munoz diperintahkan keluar padang susulan kad kuning kedua diterimanya.

Kesempatan itu gagal digunakan sebaiknya oleh Uruguay pada babak kedua meskipun mendominasi fasa 20 minit terakhir permainan.

Malah, peluang terbaik dimiliki Luis Suarez hanya singgah di tiang gol dan penjaga gol (Camilo Vargas) dan barisan pertahanan Colombia kental bertahan untuk membawa mereka ke final.

Edisi lalu menyaksikan Colombia tewas kepada Argentina pada aksi separuh akhir yang berlanjutan hingga ke penentuan sepakan penalti.

Ini merupakan peluang terbaik buat skuad kendalian Nestor Lorenzo itu untuk membalas dendam kepada juara bertahan tersebut serta memburu kejuaraan kedua buat skuad Los Cafateros.