Juara bertahan, Argentina melangkah ke separuh akhir Copa America 2024 selepas berjaya menundukkan Ecuador 4-2 menerusi sepakan penalti pada aksi yang berlangsung di NRG Stadium, sebentar tadi.

Pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti setelah aksi sebenar 90 minit permainan berkesudahan seri 1-1.

kuih raya
HYPE
Dari Dapur Nenek Ke Dapur Moden: Kuih Raya Tradisi Dengan Elemen Inovatif
Baca lagi →

Baca Juga:

Kemenangan yang dicatatkan oleh skuad kendalian Lionel Scaloni itu tidak hadir dengan mudah apabila Ecuador tampil bertenaga untuk memberikan saingan hebat terutamanya pada babak kedua.

Ia jelas dibuktikan dengan dua percubaan pantas dimiliki Ecuador pada minit ke-15 dimana percubaan jarak dekat Jeremy Sarmiento diselamatkan penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez manakala rembatan Kendry Paez pula sekadar melewati palang gol.

Seminit kemudian, Angelo Preciado pula mensia-siakan peluang hasil hantaran lintang dilakukan Enner Valencia untuk terus memberikan tekanan kepada Argentina.

Tersentak dengan serangan-serangan berbahaya itu, Enzo Fernandez pula mengambil giliran untuk menguji gawang Ecuador yang dikawal Alexander Dominguez.

Jaringan yang dinantikan kem Argentina hadir pada minit ke-35 selepas Lautaro Martinez menanduk masuk bola ketika situasi sepakan penjuru.

Ecuador terlepas peluang untuk kembali menyamakan kedudukan ketika aksi memasuki minit ke-62 selepas sepakan penalti Enner Valencia sekadar singgah di tiang gol ketika Martinez sudah pun tertewas.

Kekecewaan Ecuador  itu ditebus pada masa kecederaan apabila tandukan Kevin Rodriguez  selepas menerima hantaran John Yeboah gagal diselamatkan Martinez untuk mengheret aksi ke penentuan sepakan penalti.

Lionel Messi yang mengambil sepakan pertama jelas hampa setelah sepakan panenka dilakukannya sekadar singgah di palang gol.

Namun nasib jelas menyebelahi Argentina dimana kecemerlangan Martinez membolehkan beliau menafikan sepakan Angel Mina dan Alan Minda.

Manakala, baki empat lagi pemain iaitu Julian Alvarez, Alexis Mac Allister, Gonzalo Montiel dan Nicolas Otamendi menyempurnakan sepakan bagi membawa Argentina ke separuh akhir.

Menanti La Albiceleste nanti ialah pemenang antara Venezuela dan Kanada yang akan beraksi pagi esok.