Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo menerima kecaman dari bekas pemain Liverpool, Didi Hamann ekoran menangis selepas Portugal menewaskan Slovenia dalam aksi peringkat 16 pasukan terakhir temasya UEFA Euro 2024.
Portugal menang dengan keputusan 3-0 selepas penjaga gol, Diogo Costa berjaya menyelamatkan ketiga-tiga sepakan penalti lawan sekaligus membawa Portugas mara ke peringkat suku akhir.
Baca Juga:
- Euro 2024: Jerman Atasi Denmark Untuk Ke Suku Akhir
- Euro 2024: Switzerland Hantar Itali Pulang Lebih Awal
- Pakar Analisis Ramal England Juara Euro 2024
Ronaldo gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika permainan memasuki masa tambahan sekaligus menjadi punca pasukannya tidak memenangi perlawanan sebelum aksi terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.
Portugal 0-0 Slovenia (aet, 3-0 pens): Diogo Costa heroics take Portugal to quarters 🇵🇹
Tap below to read the report 👇
— UEFA EURO 2024 (@EURO2024) July 1, 2024
Selepas memenangi perlawanan, bekas bintang Juventus dan Real Madrid itu dilihat menangis sambil ditenangkan oleh rakan sepasukan yang lain.
Hamann nyata tidak gembira dengan reaksi ini dimana beliau menyifatkan pemain berusia 39 tahun itu sebagai pentingkan diri sendiri dan hanya menjadi beban bagi pasukan.
“Berusia 39 tahun dan beraksi selama 120 minit, bekerja keras di atas padang kerana satu pasukan mengharapkan beliau, saya harus memberikan pujian. Tetapi perangai sebenar dia dapat kita saksikan hari ini.
“Gagal menjaringkan penalti, menangis selepas memenangi perlawanan, saya mula berfikir dia mementingkan diri sendiri. Ini bukan tentang anda semata-mata. Ada pemain lain serta pegawai dalam pasukan selain puluhan ribu penyokong yang hadir atau menyaksikan perlawanan.
“Saya tidak pernah melihat perkara seperti ini. Apabila anda larut dalam emosi, itu merupakan tanda anda perlu keluar. Dia hanya memikirkan tentang diri sendiri.
“Sekiranya Cristiano Ronaldo bermain pada aksi suku akhir, maka saya hanya melihat Perancis akan memenangi perlawanan itu,” katanya.
Setakat ini, Ronaldo masih lagi belum menjaringkan sebarang gol dalam temasya edisi 2024 dan beliau diturunkan dalam kesemua perlawanan Portugal yang merupakan juara bagi edisi 2016.