Pengurusan tertinggi Al-Nassr tanpa berselindung mengakui bahawa tonggak pasukan, Cristiano Ronaldo memainkan peranan penting dalam proses rekrut pengurus baharu pasukan.

Hal ini kerana pengurus terdahulu, Luis Castro telah digantikan dengan Stefano Pioli yang pernah menghadiahkan kejuaraan Serie A buat AC Milan pada musim 2021/22.

Pemecatan Castro sudah pastinya berkait rapat dengan kegagalan Al-Nassr meraih sebarang kejuaraan pada kempen 2023/24.

Malah, musim ini pula mereka bermula dengan tidaklah begitu baik apabila sekadar mencatatkan satu kemenangan dan dua keputusan seri pada tiga aksi awal saingan Saudi Pro League.

“Cristiano Ronaldo tidak mengawal kelab ini (Al-Nassr), tetapi jelas sebagai pemain yang terbaik di dunia, beliau memberikan kita panduan mengenai jalan yang perlu kita ikuti dan apa matlamat yang perlu kita capai.”

“Dia seorang pemenang. Kami meminta beliau untuk mengajar kami cara untuk menang dan tahun ini kami ingin menang bersamanya serta mencapai matlamat terbesar yang mungkin.”

“Cristiano adalah sebahagian daripada pasukan dan kami sangat gembira dapat bergantung padanya,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Al-Nassr, Guido Fienga menurut sumber laporan Goal.

“Saya tidak rasa ada sebarang kelewatan (keputusan memecat Castro). Kita perlu mengurus kelab dengan cara yang seimbang, mengelakkan tindakan yang terlalu tergesa-gesa, jika tidak, kita boleh mencipta masalah daripada menyelesaikannya.”

“Keputusan untuk menukar jurulatih sentiasa sukar, tetapi kami meneruskan langkah ini kerana kami percaya ia adalah keputusan yang tepat sekarang.”

[Fernando] Hierro (Pengarah Sukan Al-Nassr) dan pasukannya mencadangkan Pioli kerana kemampuannya untuk melatih, memperbaiki dan membina pasukan, serta membantu pemain untuk terus berkembang.”

“Kini, kami perlu menyelaraskan perkembangan beberapa pemain muda Arab Saudi dengan pemain antarabangsa yang kami miliki. Jabatan teknikal percaya bahawa Pioli adalah yang terbaik di pasaran pada masa ini,” tambah Fienga lagi.