Cristiano Ronaldo terus mencipta sejarah baharu dalam karier gemilangnya apabila berjaya memecahkan rekod jaringan terbanyak semusim saingan Saudi Pro League.

Pemain berusia 39 tahun itu meledakkan 35 jaringan buat Al-Nassr pada musim ini yang sekali gus menjadikannya sebagai penjaring terbanyak kempen liga.

Baca Juga:

Tujuh gol meninggalkan pencabar terdekat yang beraksi bersama Al-Hilal dan muda 10 tahun berbandingnya iaitu Alesandar Mitrovic.

Dua gol terbaharu oleh beliau terhasil ketika Al-Nassr berjaya menundukkan Al-Ittihad 4-2 pada aksi yang berlangsung di Al-Awwal Park.

35 gol dihasilkan Ronaldo telah memadamkan rekod lama 34 jaringan oleh Abderrazak Hamdallah (Al Ittihad) yang dilakukan oleh pemain kelahiran Maghribi itu pada musim 2018/19.

Ia turut menyaksikan Ronaldo telah mengumpul 49 gol dalam dalam saingan Saudi Pro League dimana 14 daripadanya terhasil pada musim lalu.

Manakala, jumlah keseluruhan jaringan beliau dalam semua kejohanan sejak bersama pasukan pada Januari 2023 ialah sebanyak 58 gol dan mencipta 15 bantuan jaringan dalam 63 aksi dilalui.

Beliau mampu untuk meningkatkan lagi jumlah tersebut kerana Al-Nassr bakal beraksi menentang Al-Hilal pada perlawanan akhir King’s Cup, 1 Jun nanti.

Selain itu, koleksi jaringan Cristiano Ronaldo tersebut juga turut membantu Al-Nassr mencipta 100 gol pada musim ini hingga menjadikannya sebagai gol terbanyak satu musim dalam sejarah kelab tersebut buat pertama kali.

Al-Nassr menamatkan kempen Saudi League Pro dikedudukan kedua selepas mengumpul 82 mata hasil 26 kemenangan, empat keputusan seri dan empat kekalahan.

Skuad kendalian Luis Castro itu ketinggalan 14 mata dibelakang juara liga, Al-Hilal.