Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan beliau bersikap terbuka sambil mengatakan sesiapa saja layak untuk bertanding bagi mengisi jawatan selaku presiden badan itu.

Baru-baru ini, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairu Jamaluddin dikaitkan dengan jawatan presiden tetapi beliau menyatakan belum mempunyai perancangan untuk kembali ke badan bola sepak negara itu.

Baca Juga:

“Apa saja yang saya buat, ia tidak boleh bercanggah dengan statut dan konstitusi FAM. Sesiapa saja boleh bertanding untuk mengisi apa-apa jawatan. Saya tak kisah dan saya suka dengan cabaran, begitu juga FAM.

“Saya terbuka dengan kritikan. Saya menerima kritikan daripada peminat dan ambil perkara yang baik saja. Ramai yang mengkritik khususnya dengan kejadian yang berlaku baru-baru ini.

“Apa yang penting, saya tidak terlibat dengan perkara yang tidak benar dan meneruskan tugasan bagi kebaikan bola sepak negara. Sekiranya proses pemilihan presiden tiba, kita akan menjalankan sesuai dengan statut FAM,” kata Datuk Hamidin dipetik dari laporan Scoop.

FAM menerima kritikan hebat dari peminat susulan kegagalan skuad B-23 Tahun negara melepasi saingan peringkat kumpulan dalam AFC B-23 Tahun edisi kali ini.

Skuad bimbingan Juan Torres Garrido gagal mencatat sebarang mata dan pulang dengan hanya satu gol yang dijaringkan semasa beraksi di Qatar.

Peminat mahu ada perubahan dalam tampuk kepimpinan FAM dimana rata-rata dari mereka menilai badan induk bola sepak negara itu gagal menyediakan platform terbaik bagi pembangunan pemain muda di Malaysia.