Sebuah amaran keras telah dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada penyewa di Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang gagal melunaskan tunggakan sewa rumah mereka.
Dengan kadar sewa yang serendah RM124 sebulan untuk rumah berkapasiti dua hingga tiga bilik, DBKL menegaskan bahawa sikap culas ini tidak boleh diterima lagi.

Menurut kenyataan DBKL di Facebook, kadar sewa ini jauh lebih rendah daripada nilai pasaran sebenar dan direka khas untuk membantu golongan yang memerlukan.
Namun, ada penyewa yang mengambil kesempatan dengan tidak membayar sewa, walaupun pelbagai kemudahan pembayaran termasuk secara atas talian telah disediakan.
Lebih menyedihkan, ada puluhan ribu pemohon lain yang masih menunggu giliran untuk mendapatkan rumah ini.
Sikap sambil lewa segelintir penyewa akhirnya menutup peluang bagi mereka yang benar-benar memerlukan.
“DBKL ingin mengingatkan, ini bukan soal mampu atau tidak mampu, tetapi soal sikap. Jangan ambil ringan tanggungjawab anda sebagai penyewa. Rumah yang anda diami ini adalah satu keistimewaan, bukan hak mutlak,” tulis DBKL.
Bermula Disember ini, DBKL akan menubuhkan satu Task Force khas untuk menangani isu tunggakan sewa.
Antara langkah tegas yang akan diambil termasuk DBKL tidak teragak-agak untuk menamatkan perjanjian sewa rumah PPR atau PA.
Langkah ini bukan sekadar ugutan kosong, namun DBKL menegaskan bahawa mereka serius dalam memastikan keadilan untuk semua, terutamanya bagi pemohon yang lebih menghargai peluang ini.
Penyewa diminta sedar bahawa rumah PA/PPR adalah satu keistimewaan yang diberikan, bukan hak mutlak.
DBKL tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan jika syarat-syarat penyewaan tidak dihormati.
DBKL juga menyeru para penyewa untuk menghargai peluang ini dan menjalankan tanggungjawab dengan melunaskan sewa tepat pada masanya.
Jika tidak, rumah tersebut akan diserahkan kepada mereka yang lebih memerlukan dan menghormati keistimewaan yang diberikan.