Mahkamah Rayuan memerintahkan chef Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan untuk membayar ganti rugi bernilai RM150,000 kepada bekas menantunya Gavin Edward O’Luanaigh berhubung hantaran berunsur fitnah terhadap O’Luanaigh di platform media sosial.
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Wong Kian Kheong membenarkan rayuan O’Luanaigh untuk membatalkan keputusan sebelum ini.
Baca Juga:
- ‘Banyak Peniaga Melayu Tiada Ilmu Penyediaan Makanan Bersih & Selamat’ – Chef Wan
- ‘Saya Minta Maaf Aishwarya Rai, Tapi Dia Tak Kenal Saya & Tak Peduli’ – Chef Wan
- Chef Wan Nafi Aniaya Pekerja Dalam Isu Gaji
Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa kenyataan yang didakwa dibuat oleh chef itu tidak memfitnah O’Luanaigh, lapor Harian Metro.
Dengan keputusan baharu itu, Hakim Azizah memerintahkan Chef Wan membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am, teruk dan teladan kepada O’Luanaigh. Beliau juga perlu membayar kos RM40,000 untuk prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Hakim Azizah juga memberikan injunksi berkekalan yang melarang Chef Wan daripada menerbitkan kenyataan fitnah bekas menantunya.
Dalam masa sama, Chef Wan diarah membayar faedah lima peratus setahun atas jumlah penghakiman bermula dari tarikh saman difailkan sehingga tarikh penyelesaian penuh.
Memetik laporan itu lagi, O’Luanaigh diwakili peguam Nur Khidmah Huzaisham dan Nur Dalilah Zainol Abidin manakala Datuk M. Reza Hassan mewakili Chef Wan.
Untuk rekod, O’Luanaigh telah berkahwin dengan anak Chef Wan, pelakon Serina Redzuawan pada 2010 sebelum bercerai pada Ogos 2017.
O’Luanaigh merupakan seorang warganegara British memeluk Islam pada 20 Nov 2006. Nama Islamnya dikenali sebagai Salahudin Ghafffar.