Sejak pandemik melanda diikuti dengan tekanan ekonomi pada ketika ini, ramai yang mahu mencuba mencari pendapatan tambahan dalam usaha menampung kehidupan seharian.
Menerusi media sosial juga, pelbagai idea bisnes yang dikongsikan oleh beberapa individu dalam membantu orang ramai mencari pendapatan menerusi penjualan makanan, penawaran servis dan sebagainya.
Terbaharu, pengguna Facebook Abdul Fazmin tampil membandingkan perbezaan menjalankan bisnes nasi kukus ayam berempah secara teori dan amali berdasarkan perkongsian Khairul Faizie dan Yeop Owsem. Berikut merupakan perkongsian dibuat yang diharap dapat memberi pencerahan kepada orang ramai mengenai bisnes nasi kukus ayam berempah.
Teori
Katakan harga ayam naik sekalipun, kos beli seekor ayam sekitar RM20 masih boleh dipotong 14. Jika jual seketul pada harga RM4.50, pemilik bisnes masih mampu meraih pendapatan kasar RM63.00 untuk seekor ayam.
Pendaptan bersih yang diperoleh masih belum termasuk modal ayam seekor RM20, modal minyak masak, rempah sekitar RM10 bagi setiap seekor ayam yang berharga RM30 secara keseluruhan.
Dalam erti kata lain, untung bersih jual ayam goreng berempah adalah sekitar RM33 seekor. Tolak juga RM3 untuk beberapa kos tambahan. Oleh itu, setiap seekor ayam yang dijual sebagai ayam goreng berempah mampu meraih untung bersih RM 30.00.
Tiada kos sewa kedai atau bil air dan api yang tinggi kerana cuma buka gerai di tepi jalan. Jika satu hari berniaga sekitar jam 11.30 am sehingga 2.00 pm, dapat jual 5 ekor ayam berempah sudah berjaya membawa pulang RM150 sehari. Malah, untung yang diperoleh tidak termasuk penjualan nasi kosong.
Ini contoh bisnes yang boleh dibuat sekiranya tidak mempunyai pekerjaan. Semudah kerja 3 jam di gerai dan mungkin sejak awal pagi untuk persiapan sudah mampu meraih pendapatan yang berbaloi. Pengiraan yang dibuat hanyalah berdasarkan pengiraan kasar dan mohon ampun maaf sekiranya terdapat kesalahan pada pengiraan.
Amali
Memandangkan saya berniaga gerai nasi kukus ayam berempah, saya nak kongsi juga kos-kos tersembunyi yang perlu diambil kira jika mahu mula berniaga:
1. Kos jualan tidak habis dijual
Berniaga 2.5 jam, belum tentu boleh habis kesemua jualan. Saya berniaga 7.5jam baru boleh jual 70 bungkus. Kalau hujan, lagilah teruk. Makanan yang tidak habis dijual akan dibuat untuk makan sendiri atau sedekah kepada orang. Walau bagaimanapun kos tetap kena tolak daripada keuntungan.
2. Ayam potong 14 adalah terlalu kecil
Kalau ayam RM20 bermakna ayam tu berat dalam 2kg. Ayam 2kg boleh potong 10 sahaja maksimum. Jika tidak akan mengundang sumpah seranah daripada pelanggan. Sudahlah jual pada harga RM4.50. Saya sendiri jual ayam potong 4 pada harga rm6.00 seketul.
3. Kos minyak masak
Kalau boleh dapatkan minyak masak paket sekalipun, akan pakai sehari 4 paket minyak untuk goreng ayam. 4kg x RM2.50 = rm10. Kalau tidak dapat cari minyak paket, bersedialah untuk kos yang lebih besar dan berganda.
4. Kos gas
Kos gas ini ramai yang ambil mudah. Hakikatnya kos ini besar dan kerap kena beli. Seminggu saya pakai 4 tong gas untuk jualan di gerai 7.5 jam serta masak kuah di rumah 3.5 jam. Ayam goreng berempah ni api kena kuat kalau tidak ayam tak masak sampai dalam.
5. Kos beras
Saya pakai 8kg beras untuk jualan 70 bungkus. Untuk pengetahuan, ia hanyalah sekadar beras dan belum menjadi nasi. Kalau mahu dijadikan nasi terdapat kos-kos tambahan yang lain.
6. Kos bahan sampingan
Contoh kos untuk kuah kari kaki ayam, sambal belacan, kos sayur, rempah perapan. Kos-kos ini besar sebab cili padi dan cili masak sekarang harganya bukan murah. Terkadang mencecah RM15 sekilo. Belacan lagi, herba campur, buah keras, serai, lengkuas, kayu manis, bunga lawang, tomato, cili kering, serbuk, daun kari, pandan dan lain-lain.
7. Kos pembungkusan
Kos untuk bungkus barang jualan. Kertas minyak gred B, plastik bungkus nasi 15×15, plastik 5×7 bungkus kuah dan sambal dan plastik singlet pelbagai saiz.
8. Kos santan
Kalau berdasarkan kiraan secara amali, jualan ialah 70 bungkus sehari. Maka santan sehari kena pakai 1kg untuk kuah kari sekitar Rm7 – Rm10 sekilo.
9. Kos pekerja
Pengalaman saya berniaga 7.5jam jualan 70 bungkus memang memerlukan pekerja sebab kita kena goreng dan bungkus on the spot. Pelanggan tak nak makanan sejuk. Kalau 2.5jam nak jual 70 bungkus, saya jamin kena pakai lebih daripada 3 tenaga kerja termasuk pemilik bisnes.
10. Kos pengangkutan
Kos minyak untuk ulang alik ke tapak berniaga, kos pusing merata kedai beli barang mentah yg murah, kos meronda sebab nak cari minyak paket. Kos ni bukan sikit dan saya jamin tidak boleh nak naik motor sebab banyak barang yang perlu dibawa.
11. Kos alatan berniaga
Saya berniaga gerai tepi jalan. Kos beli alatan berniaga di tapak ditambah dengan alatan berniaga di rumah mencecah sudah mencecah RM10,000. Blender heavy duty pun sudah RM500 untuk brand butterfly.
Saya pakai jenama Khind murah sikit tetapi baru pakai 3 bulan sudah bermasalah. Mujur beli baru maka ada waranti tetapi masih kena beli 2 untuk sebagai backup.
12. Kos storan
Kalau berniaga pada skala jualan 70 bungkus sehari, kita takkan boleh muat menggunakan chest freezer 120liter dan pakai peti ais rumah. Sebaliknya kena pakai freezer besar dan peti ais kena beli asing untuk simpan stok bahan mentah kalau tak nak keluar setiap hari berbelanja.
Freezer besar berharga sekitar RM800 manakala peti ais bersaiz sederhana berharga sekitar RM1,000. Untuk menjimatkan kos, para peniaga boleh mendapatkan peti ais terpakai namun perlu fikir juga kos baiki kelak. Kos storan ini akan datang sekali bersama kos eletrik.
13. Kos kesihatan
Cucuk thypoid RM70 seorang. Kalau 3 pekerja sudah RM210. Pekerja yang kita cucuk itu pula belum tentu mahu kekal kerja dengan kita.
14. Kos gaji
Gaji pekerja kalau setakat tawarkan rm50 sehari kerja gerai memang kena bersaing la dengan kerja rider yang lebih menarik di kalangan budak-budak muda. Gaji majikan perlu diambil kira. Persediaannya bermula awal pagi daripada beli ayam dan bahan-bahan mentah, cuci ayam bersama kelengkapan lain, masak kari, berniaga, cuci tapak dan cuci peralatan.
15. Kos risiko
Risiko ni boleh datang dari sudut pihak penguasa, sudut cuaca dan juga sudut mistik. PBT, kesihatan, polis dan imigresen sekiranya pakai pembantu gerai pekerja asing. Cuaca ribut boleh hancurkan khemah kita. Sihir, santau dan khianat juga boleh jadi risiko yang paling besar pakai kos.
16. Kos tapak
Tapak jarang dapat percuma walaupun berniaga tepi jalan. Mesti perlu bayar RM5 – RM10 sehari secara purata. Kalau dalam kampung mungkin percuma. Mahu tempat ramai orang dalam pekan sudah tentu perlu bayar sama ada pada PBT atau pada gerai yang kita tumpang.
Tapak yang disewa juga perlu dekat dengan air untuk mencuci. Sekiranya berniaga pada waktu malam ada baiknya jika dapat tarik eletrik sekali. Untuk yang menyewa kedai lebih parah sebab selain sewa, akan kena bayar lesen PBT, lesen papan tanda berlampu, kesihatan (penapis minyak), letrik tarif komersial, IWK dan lain-lain.
Tambahan: Kalau nak ada untung lebih, kena bukak meja utk dine in dan jual air. Ini semua tambahan kos tetapi mampu menjana lebih keuntungan. Kepada yang baru nak mencuba, ambil kira kos-kos diatas sebelum anda pertaruhkan baki saving anda untuk mula. Pergi bersembang dengan orang-orang yang sudah berniaga dan bukannya pergi masuk kelas ‘bisnes coaching’.
Disclaimer: Saya menulis untuk menambah maklumat, bukan untuk merendah-rendahkan. Saya bukan sifu atau coach untuk bisnes.
Saya cuma ada pengalaman yang boleh dikongsi untuk manfaat bersama. Saya tiada pengaruh. Page FB gerai saya Chor Nasi Kukus Pandan – Seri Iskandar dan kedai saya Honey Baking Supplies – Seri Manjung juga mempunyai jumlah likers yang ramai. Terima kasih semua yg mendoakan saya. Saya terharu . Selamat maju jaya untuk semua.
Bukan nak cakap siapa salah. Cuma nak beritahu teori dan amali jarang-jarang sama.
Perkongsian yang dibuat diharap dapat memberi pencerahan kepada orang ramai yang mahu menjalankan bisnes untuk membuat pengiraan dengan lebih terperinci.
Tular pada minggu lalu apabila wanita yang mendakwa status halal ayam goreng spicy McDonald’s tampil membuat permohonan maaf atas kesalahan yang dilakukan.