Pavel Durov, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) aplikasi Telegram, telah ditahan di Lapangan Terbang Bourget di luar Paris atas dakwaan berkaitan dengan aplikasinya.
Penahanan ini mengejutkan orang ramai, memandangkan Durov adalah antara watak utama dalam dunia digital.
Durov, 39, yang merupakan seorang bilionair Franco-Rusia, dilaporkan sedang dalam perjalanan dari Azerbaijan menaiki jet peribadinya apabila waran tangkap yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Perancis mula dikuatkuasakan, lapor Al-Jazeera.
Waran tersebut dikeluarkan sebahagian daripada siasatan awal oleh OFMIN, sebuah agensi penguatkuasa Perancis yang bertanggungjawab mencegah keganasan terhadap kanak-kanak.
Menurut sumber yang dipetik oleh agensi berita AFP, Durov didakwa atas pelbagai kesalahan termasuk penipuan, pengedaran dadah, buli siber, dan jenayah terancang.
Selain itu, Durov juga dituduh gagal mengambil tindakan terhadap penyalahgunaan Telegram yang membahayakan, terutama sekali terhadap kandungan yang berkaitan dengan keganasan dan jenayah.
Laporan dari media Perancis seperti TF1 TV dan BFM TV menyebut bahawa fokus utama siasatan tersebut adalah mencari jawapan Telegram tidak dipantau rapi sehingga memberi ruang kepada aktiviti jenayah untuk berlegar tanpa halangan.
Difahamkan bahawa Durov tahu mengenai waran tangkap yang dikeluarkan ke atasnya.
Seorang penyiasat memberitahu AFP bahawa mereka terkejut Durov masuk ke Perancis walaupun sudah mengetahui tentang waran tangkap yang dikeluarkan ke atas namanya.
Kedutaan Rusia di Perancis telah menuntut hak-hak CEO Telegram itu dijamin sepanjang beliau ditahan, seperti yang dilaporkan oleh agensi berita negara Rusia, TASS.
Namun, kedutaan itu menyatakan bahawa Perancis setakat ini “mengelak” dari berkomunikasi mengenai situasi Durov.
Diplomat Rusia kini sedang berhubung dengan peguam Durov untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Durov, yang mencipta Telegram bersama abangnya pada tahun 2013 di Rusia, telah lama menjadi pelarian dari tanah airnya sejak tahun 2014.
Selepas Rusia melancarkan perang ke atas Ukraine pada tahun 2022, Telegram jadi sumber utama kandungan tidak ditapis dan grafik yang merakam perang.
Platform ini digunakan secara meluas oleh pegawai-pegawai Rusia dan Ukraine, termasuk Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy.
Telegram telah digambarkan oleh sesetengah penganalisis sebagai ‘medan perang maya’, dengan kedua-dua pihak menggunakan platform tersebut untuk propaganda dan komunikasi strategik.
Bagaimanapubm beberapa negara di Eropah, termasuk Perancis, kurang senang dengan populariti ini dan mula menyemak semula aplikasi tersebut kerana bimbang dengan keselamatan data.