Usahawan dan influencer, Wak Doyok dilaporkan rugi lebih RM3 juta selepas ditipu rakan bisnes.

Memetik Harian Metro, dia hanya menyedari ditipu rakan bisnesnya yang merupakan pasangan suami isteri selepas membuat siasatan terhadapnya.

Baca Juga:

“Hasil siasatan, saya dapati mereka terbabit dalam pemalsuan dokumen, salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

“Mereka juga sudah mengosongkan premis pejabat dan melarikan semua barangan dan peralatan milik syarikat tanpa pengetahuan saya.

“Saya hanya dapat tahu dia sudah mengosongkan premis dan seramai 20 kakitangan juga sudah berhenti dari syarikat, baru-baru ini,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut laporan itu lagi, Wak Doyok telah menggunakan kira-kira RM500,000 wang simpanannya untuk melabur syarikat berkenaan.

“Saya terpaksa jual tanah dan aset lain untuk melabur dalam perniagaan ini dan tidak sangka ditipu rakan perniagaan sendiri pula.

“Saya sudah berusaha untuk berbincang secara baik untuk menyelesaikan kes ini tetapi pihak terbabit mendakwa dia ditipu dan mengambil tindakan undang-undang (saman) terhadap saya pula,” katanya.

Wak Doyok berkata, dia juga sudah membuat 10 laporan di Balai Polis Bukit Jelutong terhadap mereka sejak 2 Julai lalu.

“Saya juga sudah mengambil khidmat peguam dan berharap semoga kebenaran akan berpihak kepada saya,” katanya.

Tambahnya lagi, dia membuat pendedahan ini bagi memberi peringatan kepada orang ramai.

“Saya sudah menceburi perniagaan baru sekarang. Sebenarnya, saya terpanggil untuk berkongsi kes penipuan ini untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Semoga pendedahan ini akan sedikit sebanyak membantu rakan artis dan orang ramai supaya lebih berhati-hati untuk menjalankan perniagaan ‘joint venture’ kerana ia banyak membabitkan kegiatan ‘scammer‘ ketika ini,” katanya.

Sumber