Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat (YB) Hannah Yeoh tanpa berselindung mengakui kecewa mendengar pengkhabaran Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Mohd. Amin tidak mahu mengekalkan jawatannya pada Kongres Pemilihan FAM bagi penggal 2025-2029, Februari depan.
Hannah berpendapat Hamidin yang cukup sinonim dengan bola sepak negara telah banyak mengubah lanskap dalam sukan paling popular tersebut.

Baca Juga:
- Hamidin Umum Tak Pertahankan Jawatan Presiden FAM
- Hamidin Dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota, Bawa Gelaran Tan Sri
- Hannah Yeoh: Permohonan Maaf Daripada Victor Sudah Memadai
Antara sumbangan terbesar Hamidin yang mencuri tumpuan Hannah adalah pembinaan Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Presint 5, Putrajaya.
Namun di sebalik kekecewaan tersebut, Hannah mengakui tidak mahu mencampuri urusan berkaitan pemilihan pucuk pimpinan badan induk bola sepak tanah air itu.
“Sebenarnya saya agak kecewa apabila Tan Sri (Dato’) Hamidin mengumumkan pengumumannya (tidak mempertahankan jawatan Presiden FAM).”
“Ini kerana saya merasakan Tan Sri Hamidin telah memperkenalkan banyak perkara (inisiatif) baharu sebagai contoh projek National Training Centre (Pusat Latihan Kebangsaan) yang sudah berjalan sebahagiannya,” ujar Hannah menurut sumber laporan Sukanz.
Hamidin mula terlibat dengan pengurusan persatuan bola sepak selepas memikul tanggungjawab selaku Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dari 1998 hingga 2013.
Beliau kemudiannya menjawat jawatan di Kelana Jaya (FAM) sebagai Setiausaha Agung pada 2013 apabila menggantikan Datuk Seri Azzuddin Ahmad dimana badan induk bola sepak negara pada ketika itu di bawah kepimpinan Almarhum Sultan Ahmad Shah.
Hampir enam tahun, Hamidin kemudiannya dilantik sebagai Presiden FAM pada Julai 2018 bagi menggantikan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Beliau memegang tugasan selaku Presiden FAM yang ketujuh itu sehingga ke hari ini. Malah, beliau juga pada ketika ini turut bertindak selaku Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi penggal 2023-2027.