Arsenal terlepas peluang untuk terus meraih tiga mata penuh selepas diikat Brighton 1-1 pada aksi ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) 2024/25 yang berlangsung di Emirates Stadium sebentar tadi.
Tuan rumah bermula garang dengan dua percubaan dijelmakan oleh Bukayo Saka dalam kawasan penalti tetapi usaha pemain lincah tersebut tidak berupaya untuk menghadirkan jaringan pembukaan buat The Gunners.

Baca Juga:
- Pakej Pinjaman Sterling Yang Menguntungkan Arsenal
- Berlanggar Dengan Gabriel Ketika Latihan, Debut Merino Tertunda
- Raheem Sterling: Arsenal Adalah Tempat Sempurna Buat Saya
Kehampaan itu ditebus pada minit ke-38 apabila kuisan lambung Kai Havertz setelah menerima umpanan Saka berjaya menewaskan penjaga gol Brighton, Bart Verbruggen.
Yankuba Minteh turut mendapat peluang terbaik buat pasukan pelawat tetapi percubaannya diselamatkan penjaga gol Arsenal, David Raya.
Arsenal kemudiannya terpaksa menelan kepahitan kehilangan seorang pemain selepas Declan Rice diperintahkan keluar padang susulan kad kuning kedua diterimanya hanya tiga minit aksi babak kedua bersambung.
Kelebihan itu digunakan sebaik-baiknya anak buah Fabian Hurzeler untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-58 menerusi Joao Pedro.
Pedro menolak masuk percubaan susulan selepas rembatan awal daripada Minteh selepas mendapat hantaran lolos jarak jauh oleh Lewis Dunk diselamatkan oleh Raya.
Jaringan itu jelas menyemarakkan lagi api perjuangan barisan pemain Brighton untuk mendominasi permainan.
Namun, usaha mereka untuk mendapatkan jaringan kemenangan tidak membuahkan hasil berikutan disiplin tinggi dipamerkan unit pertahanan Arsenal.
Kedudukan 1-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata.
Tujuh mata yang dikumpul kedua-dua pasukan menyaksikan Brighton berada di tangga teratas liga buat seketika hasil kelebihan perbezaan jaringan berbanding Arsenal.