Ketua Umum Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir memuji barisan pemain skuad Garuda yang berjaya melangkah ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
Dibimbing Shin Tae-yong, Indonesia menjadi satu-satunya negara di Asia Tenggara (ASEAN) yang meneruskan kemaraan dan turut layak secara automatik ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Baca Juga:
- Indonesia Berjaya Ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026
- Mahu Kalahkan Indonesia, Jurulatih Filipina Terima Ancaman Bunuh
- Indonesia Siapkan Pusat Latihan Kebangsaan Hasil Dana Dari FIFA
Thailand, Vietnam dan Malaysia bersama negara-negara ASEAN yang lain terpaksa mengharungi pusingan kelayakan pada Januari depan.
Indonesia mara selepas menduduki tempat kedua kumpulan F dengan 10 mata, empat mata meninggalkan pencabar terdekat, Vietnam. Manakala Iraq menamatkan saingan selaku juara kumpulan dengan rekod kemenangan 100 peratus.
Meskipun gembira dengan kejayaan tersebut, Erick tetap menganggap perjalanan masih panjang buat skuad Indonesia.
“Malam ini, skuad Indonesia baru sahaja mengukir sejarah dalam format baharu FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa).”
“Kita berjaya mara ke pusingan ketiga dalam Kelayakan Piala Dunia 2026 yang sekali gus mengesahkan tempat ke Piala Asia 2027 akan datang.”
“Ini merupakan batu loncatan buat prestasi skuad kebangsaan Indonesia, ini juga berkat doa serta sokongan semua pencinta bola sepak Indonesia dan redha dari Allah SWT.”
“Alhamdulillah, hari ini pasukan kebangsaan bermain dengan semangat juang dan mental yang kuat. Peringkat seterusnya akan jauh lebih sukar, namun InsyaAllah kami percaya bahawa usaha tidak akan mengkhianati hasil.”
“Bismillah, mari kita bawa pasukan kebangsaan Indonesia terbang mendunia,” ujar Erick Thohir menurut kenyataannya di laman sesawang rasmi PSSI.