England meneruskan kemaraan ke separuh akhir Euro 2024 selepas berjaya menundukkan Switzerland 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti setelah aksi 120 minit terikat 1-1.
Seperti dijangka, England jelas berdepan kesukaran dimana Switzerland dilihat lebih berbahaya dalam mengancam gawang skuad kendalian Gareth Southgate itu.
Baca Juga:
- Euro 2024: Southgate Yakin England Akan Mara Ke Final
- Gary Neville: Kalau Masih Main Cara Sama, England Akan Tewas Kepada Switzerland
- Pakar Analisis Ramal England Juara Euro 2024
Bagaimanapun, tiada sebarang percubaan tepat dapat dijelmakan oleh kedua-dua pasukan pada separuh masa pertama.
Aksi kedua lebih menarik dengan Breel Embolo mendapat peluang pada minit ke-50 dalam kawasan penalti, namun percubaan leret dilakukannya dapat diselamatkan penjaga gol England, Jordan Pickford.
Kekecewaan itu ditebus Embolo pada minit ke-75 selepas beliau dengan mudah menolak masuk bola hasil hantaran lintang Dan Ndoye untuk meletakkan Switzerland dihadapan.
Kegembiraan itu bagaimanapun hanya mampu bertahan lima minit selepas percubaan daripada luar kawasan penalti berjaya menewaskan Yan Sommer untuk kedudukan kembali terikat.
Memasuki masa tambahan, anak buah Murat Yakin mencipta beberapa peluang terbaik tetapi rembatan Xherdan Shaqiri sekadar singgah di palang gol dan rembatan Zeki Amdouni pula diselamatkan Pickford.
Masih gagal mendapatkan jaringan kemenangan, pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.
Sepakan pertama oleh Manuel Akanji yang diselamatkan Pickford sudah cukup buat England dimana Cole Palmer, Jude Bellingham, Bukayo Saka, Ivan Toney dan Trent Alexander-Arnold tidak berdepan masalah menyempurnakan sepakan untuk membawa The Three Lions ke separuh akhir Euro edisi kali ini.
England bakal menanti pemenang antara Belanda dan Turkiye yang sedang beraksi.