Malang menimpa seorang penyokong Jerman apabila tangannya didapati patah selepas terkena rembatan penyerang skuad Die Mannschaft, Niclas Fuellkrug ketika sesi pemanas badan.

Insiden itu menyebabkan beliau terpaksa dikejarkan ke hospital dan terlepas aksi pembukaan Euro 2024 antara Jerman menentang Scotland pada hari sabtu lepas.

Baca Juga:

Penyokong yang dikenali sebagai Kai Flathmann itu duduk berdekatan pintu gol Jerman sebelum perlawanan bermula dan tangannya kemudian terkena rembatan deras Fuellkrug.

“Saya hilang kata-kata, ini satu perkara yang gila,” katanya menerusi sosial media di mana dia turut berkongsi gambarnya berada di hospital dengan tangan yang berbalut dan dianduh.

“Bild (portal akhbar Jerman) melaporkan insiden ini dan Persatuan Bolasepak Jerman turut menghubungi saya.” tambahnya.

Dia turut memaklumkan hanya sempat mendengar lagu kebangsaan Jerman dinyanyikan sebelum diusung keluar dari tempat duduk penyokong.

“Saya menyanyikan lagu kebangsaan di atas pengusung. Saya tidak tahu sama ada mahu ketawa atau menangis, malangnya saya terpaksa melupakan impian saya untuk menghadiri perlawanan pembukaan. Tetapi bilakah tangan anda dipatahkan oleh Fülle?,” katanya.

Jerman mencatat kemenangan 5-1 yang turut menyaksikan Fuellkrug menjaringkan satu gol pada minit ke 68.

Florian Wirtz meledak masuk gol pembukaan pada minit ke-10 dan Jamal Musiala menggandakan kelebihan dengan satu penamat cemerlang tidak lama kemudian.

Scotland terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Ryan Porteous dibuang padang kerana terjahan berbahaya ke atas Ilkay Gundogan, dengan Kai Havertz menyempurnakan sepakan penalti untuk gol ketiga Jerman.

Fuellkrug merembat masuk gol keempat pada pertengahan babak kedua selepas tampil dari bangku simpanan dan Emre Can kemudian menambah gol kelima dengan sentuhan terakhir perlawanan itu.