Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) berdepan risiko untuk digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas ada campur tangan dari pihak kerajaan pusat.

Menurut laporan media tempatan, FA Korea sedang terlibat masalah dengan Kementrian Budaya, Sukan dan Pelancongan dimana mereka mendakwa ada kesalahan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh presiden badan tersebut iaitu Chung Mong-gyu.

Baca Juga:

Menurut kementrian itu, Mong-gyu melakukan kesalahan ketika melantik Jurgen Klinsmann sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan dimana beliau tidak berbincang dengan jawatankuasa pasukan kebangsaan mengenai lantikan itu.

Perkara sama berlaku ketika melantik pengganti Klinsmann iaitu Hong Myung-bo pada Julai lalu dimana Mong-gyu terus membuat keputusan tanpa berbincang.

Siasatan ke atas FA Korea ini dijalankan selepas ada permintaan dari ramai pihak agar menyiasat badan itu dimana ramai menganggap Mong-gyu sebagai punca utama prestasi skuad kebangsaan yang semakin merudum.

Mong-gyu memegang jawatan presiden sejak 2013 dan beliau sememangnya terkenal dengan membuat keputusan kontroversi selain banyak masalah lain yang beliau timbulkan.

FIFA sendiri sudah menghantar surat kepada KFA mengenai kemungkinan untuk badan itu digantung selepas ada campur tangan dari pihak kerajaan pusat.

Campur tangan dari kerajaan dianggap satu kesalahan menurut statut FIFA pasal 19 dan statut AFC pasal 15.

Sekiranya hukuman itu dijatuhkan, maka Korea akan menghadapi nasib sama seperti Kuwait pada 2017 dan Indonesia pada 2015. Dua negara ini tidak boleh beraksi di mana-mana kejohanan dan saingan liga domestik terpaksa dihentikan.